January 13th, 2016

Sudah menjadi penaja bagi pelbagai program hiburan dan juga pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors kini Dato’ Seri Vida bergelar penerbit filem dan bakal tampil dengan filem pertama beliau sekitar hujung tahun ini.

Bukan calang-calang pengarah yang dipilih oleh Vida, beliau akan mula bertemu empat mata bersama Ghaz Abu Bakar yang sebelum ini berjaya mencipta fenomena menerusi filem Polis Evo.

Malah, pengasas produk Qu Puteh ini yakin filem beliau iaitu Cikgu Online mampu mengatasi kutipan box office Polis Evo.

Saya pernah terlibat dengan Mamat Khalid terbitkan Zombi Kilang Biskut. Saya beri dana. Drama banyak juga beri dana. Tetapi sekarang saya punya penerbitan sendiri. Saya akan bermesyuarat dengan Ghaz Abu Bakar, pengarah Polis Evo. Saya ada keyakinan boleh kalahkan Polis Evo.

Cikgu Online mengisahkan tentang seorang guru yang mendapat inspirasi untuk berniaga secara atas talian. Filem yang turut menampilkan beliau sendiri bersama keluaran-keluaran kosmetik dan kesihatannya sudah mempunyai jalan ceritanya.

Vida juga telah mempunyai beberapa senarai pelakon lelaki popular Malaysia untuk berlakon dalam filem beliau.

Ia berkait dengan produk saya juga. Ceritanya tauke jamu dan cikgu online tengok orang jual tudung dan mahu membuka perniagaan sendiri.

Saya suka Sharnaaz Ahmad, Aaron Aziz dan Zul Ariffin tetapi ramai pilih Aaron. Heroin belum ada tapi yang pasti saya berlakon dalam filem itu. Saya nak promosikan produk saya.

Saya suka lawak spontan. Saya tidak mahu pelawak buat lawak. Saya mahu orang biasa, spontan daripada skrip.

Daripada apa yang diperkatakan oleh Dato’Seri Vida kami yakin beliau tahu apa yang beliau sedang lakukan dan tegas dengan setiap perkara yang beliau mahukan. Harapnya beliau mampu untuk memberi nafas baharu dan kelainan didalam filem beliau. Pedulikan sahaja kritikan negatif orang ramai.

Sumber Berita: The Malay Mail Online


Comments are closed.

Loading...