Semakin bertambah besarlah keluarga usahawan terkenal iaitu Datuk Seri Aliff Syukri kini. Berita gembira apabila isterinya, Datin Seri Nur Shahida sudah pun selamat melahirkan cahaya mata kelima mereka.
Bayi tersebut dilahirkan pada jam 5.30 petang di sebuah hospital swasta dan Aliff Syukri sendiri telah berkongsi berita tersebut menerusi akaun Instagramnya.
Pun begitu, ramai yang tertanya-tanya apakah jantina cahaya mata baru itu kerana mereka semua telah bersepakat untuk merahsiakannya daripada pengetahuan umum.
Walaupun ada suara-suara yang mengatakan bahawa pasangan itu mendapat cahaya mata perempuan, tetapi Aliff atau pun Shahida sendiri belum lagi berkongsi tentang hal tersebut. Malahan wajah bayi mereka itu pun belum ditayangkan secara rasmi lagi.
Selidik punya selidik, dikatakan terdapat satu akaun dengan nama @anakbongsuterlajaklaris yang baru sahaja dibuka tetapi sudah meraih hampir 17,000 pengikut walaupun masih dalam mood privasi.
Seronok ya rakyat Malaysia nak ikuti perkembangan anak bongsu usahawan berjaya ini meskipun tak sampai sehari melihat dunia ini.