Darling Sudah Bersedia Untuk Bergelar Isteri

Darling Sudah Bersedia Untuk Bergelar Isteri

Tak lama lagi Darling bakal melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka pilihan hatinya, seorang pegawai pemasaran. Tahniah kami ucapkan. Kini Darling tengah sibuk menghulurkan kad kahwinnya kepada orang ramai.

Advertisement

Best jadi artis nie bila berkahwin. Ramai yang sponsor. Ada nak sponsor baju, ada nak sponsor pelamin. Tak payah nak buat loan bank nak kawin. Lagi best kalau ada orang nak sponsor honeymoon. Itu memang yang terbaik.

Ikuti luahan hati Darling mengenai perkahwinannya dengan membaca artikel ini sepenuhnya.

TATKALA ini, perasaan gementar memang tidak dapat dikawal lagi di dalam diri penerbit dan pelakon Nasreen Ngasri atau Darling yang sedang menghitung hari untuk bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Nur Azlin Rahmat, 34.

Darling yang ditemui pada majlis prebiu drama Gadis Cuci, semalam, tidak lekang dengan senyuman tatkala menceritakan tentang persiapan menjelang hari bersejarahnya itu, walaupun akui adakalanya dia cukup gelisah menantikan hari tersebut.

Sambil menggenggam kemas kad perkahwinan di tangannya untuk diedarkan kepada rakan-rakan media, tutur Darling, buat masa ini fikiran memang sedikit ‘berkecamuk’ memandangkan majlis pernikahan dan persandingannya itu semakin dekat.

“Semua pasangan yang akan berkahwin pasti akan risau memikirkan tentang macam-macam persiapan. Begitu juga dengan saya. Tapi alhamdulillah, hampir 70 peratus persiapan telah dibuat termasuklah baju pengantin dan katering.

“Saya bertuah juga kerana turut mendapat kerjasama beberapa pihak sempena majlis perkahwinan saya ini. Tetapi mereka bukannya menaja keseluruhan majlis ini, kami hanya bekerjasama dan saya tetap mengeluarkan duit sendiri untuk banyak perkara.

“Tetapi apapun, saya akui memang cukup berdebar menantikan hari itu. Maklumlah ini adalah satu perkara yang amat besar dalam hidup saya. Dan perkahwinan ini adalah satu penghijrahan terbesar dalam diri saya.

“Saya sudah bersedia untuk melangkah ke satu fasa hidup yang baru. Saya juga banyak membaca bahan-bahan tertentu sebagai persediaan untuk menjadi isteri yang baik,” kata Darling yang menerima wang hantara berjumlah RM22,222.22

Majlis pernikahan pelakon berusia 26 tahun itu dengan jejaka yang bertugas sebagai pegawai pemasaran tersebut akan diadakan di rumah keluarga Darling di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 30 Mei manakala majlis persandingan pula akan diadakan pada keesokan harinya di sebuah taman berdekatan kawasan perumahan tersebut.

Menurut Darling, majlis persandingan itu nanti akan dibuat bertemakan ‘simplicity garden’ yang akan diuruskan oleh perancang perkahwinan, Astaka Karya Sdn Bhd. Resepsi di sebelah lelaki pula akan diadakan di Bukit Katil, Melaka pada 7 Jun nanti.

Darling dan Nur Azlin telah mengikat tali pertunangan pada pertengahan Mac lalu walaupun baru menjalinkan hubungan tidak sampai setahun.

Meskipun pertunangan mereka itu pada awalnya turut terselit cerita yang kurang enak kononnya Darling ingin bertunang secepat mungkin gara-gara kes saman yang difailkan oleh bekas kekasih dan merupakan bekas rakan kongsinya, Wan Cromok yang mendakwa pelakon itu melakukan pecah amanah, namun semua itu berjaya ditepis dengan baik oleh Darling.

Baginya, dia tidak pernah mencampur-adukkan antara hubungan peribadi dan masalah kerja yang dihadapi.

Ditanya tentang perancangannya selepas bergelar isteri kelak, kata Darling, jadual seninya tidak akan berubah, cuma mungkin selepas ini dia perlu mempunyai jadual yang teratur agar dapat membahagikan masa sebaik mungkin antara karier dan rumahtangga.

“Saya bertuah kerana dia memahami karier saya. Tetapi kami memang ada berbincang dari segi komitmen terhadap karier dan rumahtangga selepas ini agar masing-masing tahu apa yang perlu dibuat,” kata Darling yang akan mengenakan pakaian rekaan Cosry pada majlis pernikahan dan persandingan itu nanti.

Bercerita tentang perkembangan kariernya ketika ini, kata Darling, drama bersiri terbaru terbitannya, Gadis Cuci akan mula ditayangkan pada 21 Mei ini, setiap Khamis, jam 9 malam di Astro Ria.

Drama bersiri itu menampilkan Darling, Fara Fauzana, Anne Ngasri dan Tengku Tiara sebagai pelakon utamanya.

“Kalau rating drama ini menarik, saya bercadang untuk teruskan dan mungkin akan memanggil semula Nora Danish, yang turut berlakon dalam Gadis Cuci yang pertama dulu.

“Nora tidak dapat sertai kami musim ini kerana ketika itu dia sedang mengandung, jadi saya memilih pelakon baru, Tengku Tiara untuk ambil alih dengan dan muncul sebagai karektor baru,” kata Darling yang juga ingin menghasilkan lebih banyak drama bercorak kerohanian selepas ini.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...