Dari Penjual Kuey Teow Ke Paralimpik, Atlet Emas Negara Tunai Janji Buat Bapanya Bangga

Trending

Dari Penjual Kuey Teow Ke Paralimpik, Atlet Emas Negara Tunai Janji Buat Bapanya Bangga

Bapa mana tidak berasa bangga apabila anaknya yang pernah menjual kuey teow di ibu kota, kini menjadi antara penyumbang pingat emas negara pada Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil.

Advertisement

Zolkefli Othman jelas berbangga dengan Muhammad Ziyad yang berjaya menunaikan janji untuk menghadiahkan pingat emas buat keluarganya dan negara menerusi acara lontar peluru.

Ziyad, 26, melalui acara F20 (masalah pembelajaran) turut mencipta rekod dunia baharu dengan lontaran sejauh 16.84 meter pada percubaan kelima beliau di temasya sukan berprestij itu, pada Sabtu.

Lebih manis apabila kilauan emas itu merupakan hadiah sempena ulang tahun kelahiran Zolkefli ke-62 pada 1 September lalu.

“Masa saya hantar Ziyad di KLIA pada 1 September lepas, hari itu adalah hari jadi saya. Dia berjanji kepada saya akan membawa hadiah pingat emas. Kami sekeluarga sangat gembira dengan kejayaannya,” kata Zolkefli, lapor Bernama.

Zolkefli menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya seperti Ziyad supaya sentiasa mendekati anak masing-masing kerana mereka mempunyai kelebihan luar biasa.

“Ziyad tidak suka menyusahkan orang. Beliau sangat berdikari serta pandai memasak. Sebelum dia ke Majlis Sukan Negara, Ziyad berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman menjual kuey teow.

“Ziyad memang seorang anak yang tidak pernah putus asa dan rajin sejak zaman sekolah lagi. Ziyad memang suka kerja berat. Ketika di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah di Kelantan, dia melakukan kerja bina rumah apabila cuti sekolah.”

Beliau berkata, anak sulung daripada empat beradik itu meminati sukan sejak sekolah rendah lagi.

“Saya masih ingat lagi, anak saya bermula darjah lima baru tahu membaca. Ziyad dibantu seorang guru wanita berbangsa India sehingga beliau mendapat nombor tiga dalam kelas ketika itu.

“Ziyad dikelilingi orang yang sangat menyayanginya, kebolehannya ini juga adalah hasil bantuan gurunya berbangsa Cina di Kelantan. Sehingga kini, gurunya itu masih mengikuti perkembangannya,” katanya.

Selain Ziyad, seorang lagi atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi turut menyumbang emas kepada kontinjen negara menerusi acara 100m T36 lelaki (celebral palsy) dan mencipta rekod kejohanan baru.

Sumber

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...