Pasangan romantis Wawa Zainal dan Aeril Zafrel khabarnya telah menukar nama anak bongsu mereka daripada Jibril Ibtisam kepada Muhammad Fahri.
Ini berikutan anak lelaki mereka itu mengalami keadaan asyik menangis hampir setiap hari sejak si kecil itu dilahirkan.
Jelas Wawa, anak ke-4 mereka telah dinamakan oleh Aeril dan semenjak ia dilahirkan ke dunia, bayi itu asyik menangis saja sehingga berjam-jam.
Anak keempat ini, Aeril namakan tapi meragam juga. Bayi asyik menangis ja, sampai dua jam. Orang panggil bayi kolik.
Saya cakap, kenapa sayang (Aeril) bagi nama ja mesti jadi macam ini. Terus dia merajuk tak nak cakap dengan saya, ada la sehari.
Kata pelakon filem Sabda Kekasih itu lagi, dia mengetahui nama anaknya itu telah ditukar setelah mendapat panggilan daripada pusat akikah mengatakan Muhammad Fahri dah selamat diakikahkan.
“Kiranya dua kali kami buat akikah untuk anak keempat ini. Aeril betul-betul ambil serius, dia terus tukar nama.” cerita Wawa lagi.
Terdahulu, Wawa telah selamat melahirkan anak ke-4 mereka seminggu lebih awal iaitu pada 30 November lalu.
Aeril dan Wawa telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata sebelum ini iaitu Ahmad Fakhruddin Attar,8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa,6, dan Ayya Soffya yang kini berusia dua tahun.