Polis Johor berjaya mengenal pasti sindiket ‘ejen insurans’ yang tergamak membunuh pencarum demi tuntutan insurans nyawa.
Cara pembunuhan
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, sindiket itu dikenal pasti selepas berlaku satu kejadian bunuh melibatkan lelaki berusia 38 tahun i Jalan Senai-Seelong di sini, pada 4.40 pagi, 6 Mei lepas.
Mangsa yang dilanggar sebuah lori pada hari kejadian sebenarnya terlebih dahulu dihimpit dan dilanggar oleh sekumpulan suspek menggunakan dua kereta dan sebuah motosikal sebelum kemudian dipukul kerana tidak meninggal dunia.
Kemudian, dalam keadaan tidak bermaya, kebetulan lalu sebuah lori di lokasi kejadian terlanggar mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, pihak polis percaya tindakan dilakukan suspek itu adalah untuk memastikan mangsa meninggal dunia agar mereka boleh membuat tuntutan caruman insurans nyawa diserahkan kepada ‘pewaris’ yang tidak dikenali mangsa.
Modus operandi
Sindiket ini akan mengenal pasti pencarum yang hidup sebatang kara dan membuat caruman tanpa pengetahuan mangsa. Mereka akan membuat permohonan polisi insurans nyawa dengan memalsukan tanda tangan dan sanggup menunggu sehingga polisi diluluskan.
Selepas polisi lulus, kumpulan ini akan merancang untuk membunuh pencarum tersebut dan membuat seolah-olah ia seperti kemalangan maut.
Setelah pencarum meninggal dunia, mereka akan membuat tuntutan insurans nyawa berjumlah RM500,000.
M Kumar berkata, lapan suspek telah ditahan dengan empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan polis kini masih giat mengesan beberapa suspek yang masih bebas.
Polis turut merampas satu dokumen polisi insurans atas nama mangsa dan tiga kenderaan yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan empat daripada mereka sudah dituduh di mahkamah pada 19 Jun lepas dan empat lagi diberikan bon jaminan.