Fenomena ‘Nasi Lemak Anak Dara’ menjadi bualan ramai pihak. Kebetulan pula wajah Siti Hajjar Ramli cantik dan nasi lemak yang dijualnya berharga berpatutan, maka ramai yang memberi sokongan kepada graduan kejuruteraan itu.Apa kata kita ikuti kisah Siti Sabirah Ali pula. Beliau dikenali di Kodiang, Kedah sebagai penjual nasi bajet dengan harga serendah RM 1. Apa yang menarik, gadis cekal ini melakukan semua persiapan perniagaannya sendiri. Baca kisah Cik Ah, seperti yang ditulis oleh rakannya, Zaty Khan.
Assalamualaikum.
Saya terpanggil nak menulis sejak memerhati fenomena Nasi Lemak Anak Dara menjadi “viral” 1 Malaysia baru-baru ini. Rezeki beliau serta rupa dan bakat yang ada. Orangnya pun bukan calang-calang berpendidikan, kan.
Saya pun ada seorang kawan jual nasi lemak jugak nama Siti Sabirah. Saya panggil Cik Ah je. Dia jual nasi lemak di market dan di Pekan Kodiang, Kedah. Muda lagi baru 24 tahun. Dia ini anak yatim piatu dan kehidupan mereka sekeluarga serba daif.
Ayah meninggal masa mak dia mengandungkan dia dalam perut. Kiranya masa dia lahir tak sempatlah merasa kasih seorang ayah. Mak dia pula meninggal masa dia umur 18 tahun. Sakit kencing manis.
Cik Ah ini anak bongsu dari tiga beradik. Kakak sulung dah kahwin tinggal asing. Kakak sulung meniaga sayur di market. Kakak nombor dua baru bekerja sebagai jururawat di Selangor selepas dekat lima tahun jugak kerja “lari bidang”. Kerja jurujual, KFC, pam minyak dan bermacam jenis kerja.
Gerai nasi lemak ini arwah mak dia usahakan sejak dari tahun 90-an lagi. Masa kecil dulu Cik Ah dan kakak-kakak dia ini la banyak menolong urus gerai nasik lemak. Masak, tolak kereta sorong, urus gerai, dan macam-macam lagi.
Sampailah sekarang rutin yang sama berulang selepas Cik Ah mewarisi perniagaan nasi lemak ini selepas arwah mak dijemput Ilahi tahun 2010.
Ceritanya dari A sampai Z lah dia buat seorang diri. Masak seorang diri, pacak payung yang besar gedabak tu pun seorang diri. Tolak kereta sorong yang berat tu seorang diri tak kira hujan panas.
Saya sendiri pernah tolong dia tolak kereta sorong. Memang sangat-sangat berat dengan lalu depan lampu isyarat pekan lagi. Orang kiri kanan tengok. Soal malu tu tak payah la cakap. Memang tebal muka.
Tapi Cik Ah ini orang yang berjiwa kental. Dia tak malu buat kerja-kerja macam ini. Memang saya tabik dia. Masyaallah, baru 24 tahun tapi dah galas tanggungjawab yang sangat berat. Bayangkan buat kerja semua seorang diri, yang sepatutnya orang lelaki buat.
Masa sekolah dulu dia boleh dikatakan pelajar pandai. Aktif sukan masa sekolah. Selalu dapat pingat dalam acara sukan.
Tapi malangnya dia tak berpeluang sambung belajar lepas SPM sebab kekangan kewangan. Sebab masa tu tahun 2010 arwah mak dia tenat sakit kencing manis.
Kakak nombor dua pula masih belajar di universiti swasta. Memang memerlukan perbelanjaan tinggi sepanjang pengajian. Jadi dia berkorban dan dahulukan kakak dia habiskan pengajian dulu.
Begitulah kisah Cik Ah. Kita boleh jadikan kisah ini sebagai contoh. Walaupun dia tak berpelajaran tinggi. Dia mampu berdikari dengan bakat yang ada, kekuatan kudrat yang Allah anugerahkan untuk dia meneruskan kehidupan ini.
Kalau netizen boleh viralkan Nasi Lemak Anak Dara, kenapa tidak viralkan nasi lemak gadis dari Kodiang ini? Atas dasar kemanusiaan, jom sama-sama kita menambah pahala kita dengan kongsi dan viralkan perniagaan usahawan muda ini.
Semoga perniagaan beliau semakin dikenali orang ramai dan makin dimurahkan rezeki. Amin.
–amazingnara.com