Pelakon dan juga penulis lirik popular, Bob Lokman,56, difahamkan sedang menjalani pembedahan memasukkan implan berupa Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) pada jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada hari ini (2 Disember 2020).
Perkara tersebut telah dihebahkan oleh Dr Riduan Mohamad Nor menerusi Facebook Majlis Ilmu. Dr. Riduan dalam pada itu turut memohon doa orang ramai mendoakan yang terbaik dan pembedahan berjalan lancar.
Difahamkan, tiada sebarang lawatan dibenarkan oleh pihak hospital sepanjang rawatan berlangsung.
Isteri kepada Bob Lokman, Relawati Daud ketika ditemui media menerusi kiriman Whatsapp tampil memohon maaf kerana tidak berkongsi maklumat terkini mengenai keadaan terkini suaminya itu.
“Maaf, tak boleh bercakap sekarang. Belum dapat apa-apa maklumat dari hospital dan masih menunggu”
Terdahulu, Bob Lokman dilaporkan memerlukan sumbangan dana sebanyak RM60,000 bagi membolehkan dia menjalani pembedahan jantung dengan segera. Dalam tempoh dua hari selepas hebahan info bantuan diperlukan, jumlah tersebut berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak.
Bob yang sebelum ini ditemui rakan media sebelum pembedahan dijalankan berkata, perasaan untuk menghadapi prosedur tersebut agak ‘lain macam’ meskipun ini merupakan kali ke-4 dia melalui perkara sebegitu.
Dia dalam pada itu berharap keadaan kesihatannya bertambah baik selepas menjalani pembedahan tersebut agar dapat menjalankan kerja dakwah seperti kebiasaannya.
Sumber : Harian Metro