Pelakon kacak, Nazim Othman akui dirinya sedikit beremosi selepas menonton sedutan drama yang kian menjadi buah mulut netizen yang berjudul Curang Tanpa Niat.
Menerusi beberapa hantaran di Instagram Storynya, dia akui dirinya pernah gagal menjadi seorang suami apabila disahkan bercerai dengan pelakon, Bella Dally pada Mei 2018 yang lalu.
Walau bagaimanapun, Nazim berkata dia bersyukur apabila bekas isterinya telah dijodohkan dengan seorang lelaki yang baik sebagai suami barunya.
Dalam realiti, saya gagal menjadi suami juga. Walau bagaimanapun, saya bersyukur Allah telah menjodohkan bekas isteri dengan lelaki yang baik sebagai suaminya.
Selain itu, pelakon itu turut menegaskan bahawa dia tidak akan berkahwin lagi dan rela bersendirian daripada melukai hati dan perasaan mana-mana wanita.
Adakah saya akan pertimbangkan untuk berkahwin lagi? Tidak.
Saya rela membujang daripada melukai perasaan wanita lain.
Terdahulu, Nazim Othman pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Bella Dally pada 10 September 2016. Walau bagaimanapun, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, mereka sah bercerai Mei 2018.
Bella kemudian berkahwin dengan pilihan hatinya yang merupakan seorang ahli perniagaan iaitu Arif Izuddin Mohd Radzali pada 31 Mac 2019.