Seorang guru Bahasa Inggeris dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan menyebarkan maklumat palsu berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Tertuduh, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani. Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menimbulkan kegentaran awam dengan menyebarkan dakwaan bahawa arwah dimasukkan ke dalam mesin basuh. Perbuatan itu dipercayai dilakukan menerusi akaun TikTok miliknya, ‘SHA_Abrienda’, pada 6 Ogos lalu.
Kesalahan berkenaan dilakukan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Kenyataan tersebut turut dikesan seorang anggota polis di KLIA Terminal 2.
Sebelum ini, Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 SMKA Tun Datu Mustapha, ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia. Kematian itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun ia mencetuskan pelbagai spekulasi sehingga PDRM membuka 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu, termasuk dakwaan mesin basuh.