Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia melahirkan rasa kesal dengan tindakan seorang penumpangnya yang enggan menyerahkan nasi lemak yang didakwa mengandungi seekor cicak ketika membelinya di dalam pesawat.
AirAsia Berhad menjelaskan, sekiranya penumpang berkenaan menyerahkan kembali makanan itu, ia secara tidak langsung membolehkan pihaknya mengenal pasti pencemaran dan tindakan yang harus diambil.
Menurutnya, syarikat penerbangan itu juga mengambil serius perkara terbabit dan telah menjalankan siasatan bagi mendapatkan fakta serta punca perkara itu boleh berlaku.
“Kami sedang mencari fakta sebenar dan menolak sebarang perbuatan khianat,” kata AirAsia Berhad menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan penumpang terbabit yang mengalami keracunan makanan, jurucakap itu berkata, pihaknya akan membantu membiayai perbelanjaan perubatan dan masih menunggu laporan dan bil-bil perubatannya.
“Pihak katerer kami diperakui oleh ISO 22000: 2005 oleh SGS United Kingdom dan telah mendapat perakuan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, MeSTI, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Gred A, Premis Bersih oleh Majlis Daerah Kuala Selangor,” menurut kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, penumpang berkenaan, Awang Waseem mendakwa, menemui seekor cicak ketika sedang menikmati nasi lemak yang dibeli di dalam pesawat Air Asia yang dalam penerbangan ke Kuching pada 27 Mac lalu.
Dia yang enggan memberikan makanan yang dibelinya di dalam pesawat berkenaan kepada pramugara, telah membuat laporan polis sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.