Dakwaan Jamuan Guru Di Hotel Guna Dana PIBG, Menteri Pendidikan Tampil Perjelas Isu

Trending

Dakwaan Jamuan Guru Di Hotel Guna Dana PIBG, Menteri Pendidikan Tampil Perjelas Isu

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid tampil mendedahkan sekolah yang didakwa mengadakan jamuan akhir tahun di hotel menggunakan dana Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sebenarnya dibiayai kutipan dalam kalangan guru sekolah berkenaan.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan masyarakat termasuk netizen agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan tuduhan tidak berasas atau melemparkan fitnah ke atas guru-guru.

“Saya dimaklumkan pihak guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Kajang mengumpul dana dalam kalangan mereka sendiri untuk menganjurkan majlis tersebut.

“Selidik sesuatu perkara itu terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa dakwaan,” katanya menerusi satu ‘posting’ di halaman Facebooknya.

Dalam pada itu, Mahdzir berpendapat guru-guru wajar dirai hasil jasa dan pengorbanan mereka setelah bertungkus-lumus sepanjang tahun memberi didikan yang terbaik demi kejayaan murid.

“Penghargaan pula tidak terhad hanya pada Hari Guru sahaja, selain inisatif pelbagai pihak menerusi pelbagai cara dan kaedah,” katanya.

Pada beberapa hari yang lepas, tular dakwaan seorang lelaki yang tidak puas hati apabila jamuan akhir tahun yang dianjurkan guru diadakan di hotel.

Malah, timbul dakwaan bahawa wang yang digunakan untuk mengadakan jamuan guru di hotel-hotel menggunakan dana PIBG.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak turut menafikan dakwaan tersebut dengan menjelaskan bahawa kebanyakan sekolah mempunyai kelab guru yang membolehkan mereka mengumpulkan dana untuk kegunaan sendiri.

Walaupun guru turut membayar yuran PIBG setiap tahun, katanya, ia tidak bermakna wang tersebut boleh digunakan untuk guru kerana setiap peruntukan perlu mendapatkan persetujuan ahli jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada ibu bapa.

“Bila ada kelab guru, mereka boleh ada bendahari sendiri untuk mengumpulkan sejumlah bayaran daripada guru-guru setiap bulan, untuk kegunaan khas seperti majlis perpisahan kerana guru berpindah sekolah dan persaraan termasuk jamuan akhir tahun.

“Sekolah tak ada peruntukan untuk semua itu, jadi mereka berusaha menggunakan dana sendiri. Kelab guru juga mempunyai akaun untuk simpanan dana, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan sumbangan daripada pihak luar,” kata Kamarozaman.

Sumber : mstar

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...