Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tampil memberi penjelasan serta menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa hasil kerja kreatif sebuah syarikat tempatan telah digunakan tanpa bayaran dalam projek Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka, Jepun.
Dalam satu kenyataan, MITI memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengumpul serta mengesahkan semua fakta berkaitan dakwaan tersebut yang kini tular di media sosial.
MITI mengambil maklum terhadap dakwaan berkaitan penciptaan konsep Malaysia World Expo yang sedang tersebar di media sosial dan turut dilaporkan oleh pihak media.
MITI juga menegaskan komitmen terhadap integriti serta pematuhan tertinggi dalam semua urusan.
Isu Dakwaan Ciplak Idea
Isu ini timbul apabila seorang usahawan, Fey Ilyas, memuat naik hantaran di Instagram mendakwa syarikatnya bertanggungjawab membangunkan konsep, tema, naratif dan reka bentuk seni bina Pavilion Malaysia. Fey mendakwa tiada sebarang bayaran atau penghargaan diberikan atas sumbangan tersebut.
Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap pengalaman itu, yang memaksanya menuntut bayaran untuk hasil kerja yang telah digunakan dan dipersembahkan kepada umum.
Fey turut mendakwa bahawa beliau dinasihatkan untuk berdiam diri demi menjaga peluang masa depan, namun berpendapat isu ini perlu diketengahkan demi mempertahankan hak pemain industri kreatif tempatan.
Pavilion Malaysia merupakan platform rasmi negara di ekspo antarabangsa berprestij itu, yang mengetengahkan identiti budaya, kekuatan ekonomi serta komitmen terhadap pembangunan mampan dan infrastruktur digital. Expo 2025 telah bermula pada 13 April lalu di Osaka.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.