Seorang ibu dijatuhkan hukuman lima tahun penjara pada 5 Mei lalu selepas mengaku bersalah kerana melakukan cubaan membunuh anak kandungnya.
Ia berlaku kerana wanita itu pernah dirogol saudara kandungnya ketika kecil dan mendakwa wajah anaknya seperti individu yang pernah merogolnya.
Menurut laporan The Straits Times, wanita berusia 29 tahun didakwa melakukan perbuatan itu sejak Januari hingga Julai 2019.
Dia memberi 13 suntikan insulin kepada anaknya yang dipercayai dibeli dari sebuah farmasi di Johor Bharu, Malaysia pada Januari 2019.
Selepas menerima suntikan berkenaan, anak wanita itu mengalami sakit kepala namun dapat diselamatkan. Namun, mangsa sempat dibawa menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Singapura pada 10 Jun 2019.
Perbuatan wanita itu terbongkar selepas anaknya memberitahu seorang petugas perubatan yang ibunya sudah beberapa kali memberinya suntikan.
Timbalan Pendakwa Raya, Bhajanvir Singh memaklumkan wanita tersebut tinggal bersama dengan ibu bapa dan tiga adik beradik lelaki dan pernah menjadi mangsa serangan seksual oleh adik-beradiknya.
Ketika itu, salah seorang saudara kandungnya itu merogolnya dan lelaki itu kemudian dihantar menjalani sekolah pemulihan selama dua tahun. Susulan kejadian, hubungan wanita itu dengan ibu dan bapanya sudah tidak harmoni.
Saudaranya itu mendirikan rumah tangga baru-baru ini dan ia menyebabkan wanita itu terkenang peristiwa dirogol oleh lelaki itu, pada masa kecil.
Dia kemudian mahu membunuh anaknya sendiri kerana wajah anaknya itu seperti saudara kandungnya itu.