Sehingga saat ini, masih hangat diperkatakan mengenai isu artis meminta bantuan khusus untuk golongan penggiat seni, isu tersebut juga mencetuskan perbalahan antara netizen dan artis.
Terbaru, hari ini Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) membuat laporan polis terhadap seorang selebriti yang didakwa membuat video berunsur hasutan dan juga kecaman terhadap industri seni tanah air.
Menerusi laman Facebook Seniman, selebriti berkenaan didakwa telah menyelar serta menghina penggiat seni bagi mendapatkan ‘paid review’ melalui media sosialnya dan ini membuatkan ramai artis terguris hati dengan kenyataannya itu. Malah, dia juga didakwa sebagai punca perbalahan antara netizen dan artis.
Tidak mahu masyarakat terus memandang negatif terhadap para selebriti, pihak Seniman turut menyeru lebih ramai artis serta penggiat seni untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia terhadap artis berkenaan.
Meskipun identiti artis itu tidak didedahkan, tetapi rata-rata netizen mengatakan bahawa artis itu adalah Zarina Anjoulie.
Terdahulu, Zarina pernah memuat naik video mengecam tindakan beberapa rakan artis yang dianggap “tidak malu” meminta bantuan khusus kerana terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan, sedangkan sebelum ini mereka menayang kehidupan mewah.