“Dah Takda Lelaki Melayu Ke Minah Ni Nak Kahwin?”, Ini Cemuhan Yang Saya Selalu Dapat..

Trending

“Dah Takda Lelaki Melayu Ke Minah Ni Nak Kahwin?”, Ini Cemuhan Yang Saya Selalu Dapat..

Saya seorang yang “private” bila tiba bab hubungan/rumahtangga, bila tiba tentang suami. Tapi saya rasa sudah tiba masanya untuk saya ceritakan sedikit kisah pertemuan saya dan suami, dan bagaimana saya akhirnya di USA.

Advertisement

Jangan terburu-buru menilai perjalanan kehidupan saya, bagi saya, ini sudah tertulis buat saya, sudah rezeki dan juga jodoh saya datang dengan cara begini, dan saya bukan hidup untuk puaskan hati seluruh rakyat Malaysia.

Tiga tahun lepas saya yakin yang saya takkan bertemu jodoh mahupun mendirikan rumahtangga. Saya beritahu ibu dan ayah janganlah diharap saya akan berkahwin dulu. Waktu itu saya kerja semberono, bertukar-tukar kerja, juga tinggal bersama ibu ayah.

Tahap stress memang melampau, bila selalu ditekan untuk mencari pekerjaan yang lebih bagus, bila sering ditanya bila mahu kahwin. Sampai satu tahap saya putus asa, rasa nak lari jauh ke ceruk di mana orang tak boleh temui saya.

Waktu itu juga, saya dapat tawaran untuk sambung PhD di University of Kent, UK. Sibuk bekerja, saya juga sibuk menulis proposal tesis. Memang dari dulu saya berangan untuk belajar di luar negara, maka saya ambil peluang untuk sambung PhD.

Tapi ibu ayah menentang kuat. Katanya sudah ada master, katanya sebab saya kurang mampu, dan mereka tak mahu bantu tanggung yuran. Saya kecewa. Saya jumpa banyak biasiswa untuk dipohon tapi bila ibu ayah tak benarkan maka tak jadi juga. Tapi saya teruskan hidup, sambil tulis proposal tesis. Sampai ke sudah tak dapat belajar “overseas”, tapi saya tetap yakin dengan perancangan Allah buat saya.

Ditakdirkan satu hari terdetik untuk saya cuba “online dating”. Sungguh saya takda masa lagi ketika itu untuk serius dalam perhubungan. Maka saya cuba. Saya ingat lagi segala benda saya tulis di “profile” saya ketika berunsur kelakar.

Norma budaya kita, “online dating” ini macam pantang larang (taboo). Semua ingat yang si pencari pasangan di atas talian perlu mendedahkan serba serbi. Itu salah! Satu hari ketika saya sedang sibuk siapkan “slide” untuk “presentation”, saya terjumpa profile dia (suami saya). Profile dia kelakar, dan sarat ilmu yang ditulis dengan penuh “humor”! Saya suka orang kelakar, saya sangat tertarik dengan orang yang bijak. Di laman itu kalau anda “view profile” orang, orang itu boleh tahu.

Maka saya pun dengan takut-takut tulis mesej kepada dia, yang mana isi mesej ialah tentang tesis saya. Haha macamlah orang minat nak tahu apa isi tesis saya! Tapi dia balas! Dia kata dia tak tahu apa-apa pasal jurusan komputer saya, tapi dia nak saya tahu yang saya ini bijak, cantik, dan “awesome”.

Perasan kejap, tapi itu kata dia, bukan kata saya! Bila orang kata “Eleh memangla dia suka sebab kau seksi!” saya marah. Saya tak dedah2 seksi, saya cuma bercakap mengenai hal ehwal dunia dan pelajaran, saya cuma minta pendapat tentang isi tesis, dan kemudian dia mengaku dengan saya yang dia suka kebijaksanaan saya dalam hal-hal ini. Buat pertama kali dalam hidup saya, kami berdua suka ciri-ciri yang sama dalam diri masing-masing, bukan soal rupa yang pertama.

Keesokan harinya, dia bertanya bagaimana untuk ke JB, dan ada makanan “best” tak di JB. Saya tinggal di JB ketika itu, dan saya bertemu dia “online” ketika dia di KL dalam percutian dia di Asia Tenggara. Saya pun katalah boleh guna bas, keretapi, atau kapal terbang. Dan saya kata mestilah banyak makanan sedap-sedap (saya senaraikan makanan ruji rakyat Johor). Selepas itu dia senyap. Saya pun teruskan hidup, tak harap pun dia akan bercakap lagi dengan saya.

3 hari kemudian, dia mesej saya lagi. Eh wujud lagi dia rupanya! Dia kata “Hai saya dah di JB!!”. DIA NAIK KERETAPI! Saya tahu waktu itu dia akan tanya soalan adakah saya sudi nak bertemu dengan dia. Akhirnya dia tanya buat pertama kali! Tapi saya tolak.

Saya kata saya nak hantar ibu ke “airport” untuk ibu “fly” ke Cambodia waktu itu (memang ibu “fly”, tapi saya tak ikut hantar!). Rasa bersalah sebab bohong. Sebab saya takut juga untuk bertemu orang yang kita jumpa “online” hanya lepas beberapa hari!

Dua atau tiga hari selepas saya berikan alasan itu, saya akhirnya berani sedikit untuk berjumpa dia. Selepas pulang dari kerja, saya jemput dia di bandar, dan bawa dia makan nasi ayam penyet. Dalam hati “Hmm mat saleh ni mesti tak makan pedas!” Macam silap saja saya bawa dia pergi restoran itu, tapi tak! Dia makan sambal belacan macam dia membesar dengan belacan! Waktu itu haruslah pandangan saya berubah terhadap dia.

Kalau mat saleh makan belacan sebab dia suka bukan sebab dia nak ambil hati saya…Sedang mulut saya penuh nasi, dia kata “Excuse me, can I say something?” Saya pun angguk dengan mulut penuh. Dia kata “You are so beautiful.” Mulut penuh nasi tu kan buruk kan?? Saya ingat lagi beberapa hari selepas itu, saya bawa dia makan durian buat pertama kali dalam hidup dia.

Saya kopekkan sebiji. Mulanya dia tak boleh terima, selepas 2 3 ulas, dia kata durian ialah buah paling sedap dia pernah rasa seumur hidup dia! Sejak kami bertemu, bila orang yang tak kenal saya dan dia tanya “makan pedas ke mamat tu? makan pakai tangan ke? sanggup ke makan durian?”. Saya akan kata “bila tiba bab makanan Melayu, dia lagi Melayu dari saya!!” dan fakta ini masih sama hingga ke hari ini.

Untuk beberapa hari seterusnya, setiap kali saya keluar berjumpa dia, saya bawa rakan tempat kerja saya ketika itu. Saya tak suka bila orang kita kuat buat cerita bila lihat anak Melayu berjalan dengan mat saleh. Tipikal Melayu. Setiap kali keluar, saya bawa dia makan makanan Melayu. Saya gembira kerana dia betul suka makanan kita.


Cincin ini sangat bermakna buat saya. Kerana ia bukan emas, ia juga bukan berlian.
Bukan suami tak mampu belikan yang mahal, tapi kami percaya yang bersederhana itu ialah yang terbaik. Dia buat saya percaya! Cincin ini kami jumpa dia pondok jual barang “silver” di Midvalley. Harganya cuma RM98, dengan batu biru yang dibuat di makmal untuk meniru batu Sapphire, dan batu kristal putih. Bila saya lihat cincin ini di pondok itu, saya kata “This is it!” Kami memang tak gemar masuk ke kedai barang kemas sebab saya bukan jenis yang sukakan barang kemas.

Selepas lebih kurang seminggu, saya jadi risau sebab saya tak mahu ibu ayah tahu saya berkawan dengan mat saleh. Tapi dia (suami) “insist” untuk bertemu kedua ibu ayah saya, untuk beritahu mereka yang dia ikhlas berkawan dengan saya.

Saya kata mantan-mantan saya dulu ambil masa berbulan-bulan dan sampai ke sudah takut untuk bertemu ibu ayah saya. Saya kagum dengan dia. Bagaimana orang yang kurang tahu tentang budaya Melayu ini tahu untuk buat perkara yang betul.

Maka saya bawa dia berjumpa ibu ayah, ditemani rakan sekerja saya! Duduklah kami di ruang tamu, sambil tunggu ibu pulang dari kerja. Ayah pula termangu-mangu tapi berminat untuk bercerita dengan dia.

Akhirnya ibu sampai rumah. Dia tanya “eh siapa ni??” Saya pun katalah ini kawan saya. Dia (suami) pun buka mulut. Susun atur ayat dia saya ingat lagi waktu itu. Ibu ayah saya mulanya ragu, selepas dia luahkan hasrat dia, ibu terus pelawa dia bermalam di rumah, berkongsi bilik tidur dengan adik lelaki saya! Rasa bahagia sikit waktu itu bila mereka terima dan sukakan dia! Dia pun layankan. Malam itu ayah siap pelawa dia cuba baju Melayu. Semua gelak gembira!

Dilajukan masa, dia ajak saya berkahwin dengan dia. Ketika itu kami travel bersama di Jerman. Dia belikan cincin perak dengan batu Quartz putih berharga €42 di kedai kecil di Berlin. Macam dalam filem pula, sebab saya tak minta dia lamar saya macam itu. Mestilah saya kata ya! ???? Kami juga terus memohon fiancé visa (visa K1) untuk jadikan saya pemastautin tetap AS melalui pertunangan kami.

Oleh kerana itu, kami terpisah selama 7 bulan untuk kertas kerja dan proses permohonan. Dia di AS, saya pula menetap di sepenuh masa di Bangkok ketika itu. Dia sedia maklum yang kalau dia duduk di Malaysia sepanjang proses itu, orang akan lihat kami dengan cara tak elok setiap kali kami berjumpa. Maka ada baiknya berjauhan. Dan saya pilih untuk tinggal di Bangkok, untuk travel solo (konon buat kali terakhir sebelum zaman bujang berakhir).

Akhirnya permohonan kami diluluskan! Saya cuma perlu terbang sendirian ke AS dan tandatangan borang perkahwinan melalui visa (kerenah birokrasi AS yang terpaksa kami ikut). Saya sedih. Ketika itu sudah 2 bulan saya duduk dengan ibu ayah selepas agak lama berjauhan dengan mereka. Nak tinggalkan keluarga di Malaysia dan terbang jauh, siapa tak sedih. Drama juga waktu itu di rumah! Cuma 6 bulan selepas saya menetap di AS (sebaga syarat visa dan kondisi status pemastautin sementara saya), kami pulang untuk melangsungkan perkahwinan di Malaysia pula.

Ketika saya di AS, dia memeluk Islam. Saya teman dia ke masjid, ketika itu kami menetap seketika di Las Vegas. Sungguh mudah prosesnya. Saya kagum dengan imam-imam di masjid AS. Tak rumit, tak memaksa, tak juga menakutkan saudara baru untuk menerima Islam. Buat penerimaan keluarga dia pula, ibu ayahnya sudah 8 tahun meninggalkan dunia. Yang tinggal cuma kakaknya yang sudahpun berkahwin dan punyai 3 anak. Kakaknya langsung tak kisah dia peluk Islam, begitu juga sahabat-sahabat lama dia! So what’s the problem la kan? ????

Januari 2015 ialah bulan perkahwinan kami di Malaysia. Proses sangat rumit, saya tak mampu ceritakan. Ramai juga yang keliru, termasuk saya. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Majlis kecil kami diadakan di rumah dengan kehadiran jiran-jiran ibu ayah, beberapa orang dari ahli keluarga belah ibu ayah, dan kawan-kawan rapat saya dan yang kenal saya sejak zaman sekolah dan zaman uni.

Majlis yang mana ibu ayah, saya, suami dan adik-adik selalu setuju dan gembira untuk adakan; majlis “simple”, tanpa sanding, cuma bergambar kenangan, majlis yang saya dan suami keluarkan cuma RM1800 dari poket kami (yang terdiri dari hadiah “door gift” sejadah buat tetamu, sewa baju kahwin, dan seekor kambing golek buat kenduri). Alhamdulillah, walau tak besar, ia sangat bermakna, apatah lagi bila dikelilingi orang yang saya sayangi. Kami sekeluarga senang begini. Ibu ayah saya memang sempoi.


Hanya 2 hantaran ini buat saya, USD100, dan cincin perkahwinan. Hantaran yang tak ternilai yang tak terlihat dalam gambar yang sudahpun dia diberikan; kasih sayang buat saya dan kedua ibu ayah saya serta adik-adik saya, dan kehadiran dia dalam hidup kami. Cerita di gambar seterusnya.

Apa yang saya harap dan doa ialah supaya jodoh kami berpanjangan. Tak dinafikan, perkahwinan campur budaya ini agak rumit dan bukan untuk semua orang, terutama orang Melayu kita. Dalam 2 tahun pertama ini, banyaknya kata-kata nista saya dengar dan baca, contohnya “Dah takda lelaki Melayu minah ni nak kahwin!” atau “wow mesti sebab minah ni nak b***ng besar!” Sakit hati tak bila baca? CAN YOU IMAGINE? Mulut puaka macam itu, mana taknya jodoh saya bukan dengan mereka (TIPIKAL lelaki Meleis).

Allah itu Maha Pemurah. Dalam masa 2 tahun pertama perkahwinan kami juga, walaupun banyak pancaroba, saya rasa senang hati, bila dia gembira dan sungguh-sungguh belajar solat dan menunaikannya. Saya juga senang hati bila dia bersungguh-sungguh belajar Bahasa Melayu demi keluarga saya, supaya dia boleh jadi lebih rapat dengan mereka setiap kali kami pulang berkumpul di Malaysia.

Juga, cuma sedikit dari sedikit rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga AS dan menetap di AS sanggup tinggalkan kehidupan normal tanpa pekerjaan demi untuk mengenali negara ini dengan menjelajah setiap pelusuknya. Saya kurang gemar bila ada mulut dengki berkata “Memanglah, oh patutlah sebab suami dia orang sana. Choi!” Bukan norma pemastautin tetap AS seperti saya apatah rakyat AS sendiri untuk buat apa yang kami buat! Kau ingat senang? Ingat itu.

Kawan saya kata “Sudah begini cara rezeki dan jodoh kau tiba.” Dari tak pernah langsung ke luar negara, belajar di luar negara, atau menetap di luar negara, akhirnya saya di AS ini, belajar melalui perjalanan saya hidup di negara orang. Dari hidup bujang sambil bertemu dengan ramai Mr. Wrong, akhirnya saya jumpa Mr. Right saya. Sungguh indah perancangan Allah buat kita. Alhamdulillah.

Jadi buat yang rasa putus harapan di luar sana, teruskan berdoa. Keluarlah dari kepompong, berkelanalah, bertemulah dengan ramai orang, berbuat baiklah dengan semua orang. Berkatalah yang baik-baik juga, ia umpama doa. ????????

I want a happy ending to my story too.

Kredit :  Hadhinah Felice

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...