Perkhidmatan Gmail yang beroperasi sejak 2004 menyaksikan ramai pengguna memilih nama akaun berunsur samaran, terutamanya yang diilhamkan daripada nama panggilan di platform lama seperti mIRC. Namun selepas lebih dua dekad, ramai mendapati nama akaun tersebut tidak lagi sesuai untuk kegunaan profesional.
Kini, Google dilaporkan bakal membenarkan pengguna menukar nama akaun Gmail. Perkara itu dikesan menerusi dokumen sokongan rasmi Google, namun setakat ini hanya tersedia dalam versi bahasa Hindi, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa ciri tersebut mungkin dilancarkan terlebih dahulu di India.

Menerusi fungsi baharu ini, pengguna boleh memilih nama akaun baharu yang masih belum digunakan orang lain. Walau bagaimanapun, setiap akaun hanya dibenarkan menukar nama akaun sebanyak tiga kali sahaja.
Menariknya, selepas pertukaran dibuat, emel akan terus diterima di kedua-dua alamat lama dan baharu. Semua data sedia ada seperti gambar, mesej serta emel terdahulu kekal selamat dan tidak terjejas. Pengguna juga boleh log masuk ke perkhidmatan Google menggunakan sama ada nama akaun lama atau baharu.
Langkah ini dijangka memudahkan pengguna yang mahu menggunakan nama lebih profesional tanpa perlu membuka akaun Gmail baharu, selain mengelakkan kerumitan mendaftar semula semua langganan dan perkhidmatan yang sebelum ini terikat dengan alamat emel lama.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

