Mengakui sebelum ini dirinya berada dalam zon selesa, penyanyi Andi Bernadee bakal tampil dengan genre muzik berbeza kali ini menerusi lagu barunya berjudul Penat.
Menurut Andi, setelah tiga tahun membawa genre reggaeton, dia kini mahu mencuba jenis muzik yang baru dalam kariernya dan tidak mahu terikat dengan hanya satu genre sahaja.
“Meskipun saya berjaya menempa nama dalam dunia seni menerusi irama muzik reggaeton, namun kali ini saya ingin mempertaruhkan lagu balada pula. Saya mahu keluar dari zon selesa dan ingin mempelbagaikan lagi jenis muzik dalam karya saya,”
Dalam pada itu, Andi berkata ini bukan kali pertama dia membawa irama muzik balada namun kali ini lagu Penat membawakan kelainan dan lebih sesuai dengan citarasa muziknya.
Muzik video lagu Penat dilaporkan telah dilancarkan di laman Youtube pada khamis lalu dan telah mendapat reaksi positif daripada peminat.
Dia turut mengharapkan reaksi yang baik daripada pendengar kerana berani tampil dengan irama berbeza daripada lagu-lagu hits yang dipertaruhkannya sebelum ini.
“Lagu ini saya tuju khas buat peminat yang setia menyokong saya selama ini. Saya tak akan pernah penat menghasilkan karya terbaik buat mereka. MV Penat juga antara video muzik yang memakan kos paling tinggi setakat ini,”
Single Penat hasil terbitan Warner Music Malaysia sudah boleh didapati di semua platform digital, bermula Rabu lalu.
Sumber: mStar Online