September 30th, 2020

Menerima pelbagai tohmahan daripada netizen apabila beliau dikhabarkan terpaksa menjalani kuarantin selama dua minggu di rumah selepas pulang dari Sabah, Ahad lalu, penyanyi Nizam Zakaria tampil buka mulut.

Nizam Laksamana Dikuarantin Selepas Pulang Dari Sabah

Menurutnya beliau ke Sabah pada 23 September lepas atas urusan kerja dan sentiasa menjaga SOP sepanjang berada di sana.

Bagaimanapun, tindakannya itu seakan menimbulkan pertikaian warganet kerana negeri tersebut sedang mengalami penularan  pandemik COVID-19 yang kian serius.

“Saya ke Sabah atas urusan kerja hakiki. Saya dengar ada kes di sana namun belum lagi PKPDB (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar). Sepanjang berada di sana saya cukup jaga SOP. Sentiasa memakai mask, cek suhu badan, sentiasa sanitise tangan, mandi yang kerap dan saya jaga penjarakan sosial.”

Namun begitu, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan arahan untuk individu yang pulang dari Sabah selepas 26 September wajib menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin iaitu dua hari sebelum dirinya pulang ke Kuala Lumpur.

“Selepas enam jam tiba di KLIA2 barulah semua penumpang dari sana dipanggil untuk saringan Covid-19. Kami diberi penerangan proses Kuarantin di rumah dan kami diberi pakai gelang pink untuk tempoh 14 hari. Bagaimanapun sekiranya keputusan positif maka bersedialah untuk ambulan datang ke rumah dan akan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.”

Nizam Laksamana Dikuarantin Selepas Pulang Dari Sabah

Ujarnya lagi, beliau amat bersyukur kerana isterinya amat memahami keadaannya dan sudah menyediakan bilik berasingan sepanjang proses kuarantin.

“Sampai rumah, isteri sudah sediakan bilik untuk saya. Kerana pihak KKM kata saya mesti jaga tiada sebarang sentuhan selama kuarantin di rumah dan saya mesti pakai mask. Saya telah laksanakan kewajipan saya untuk menjaga orang-orang tersayang dan kawan-kawan kerana rasa tanggungjawab. Saya berdoa agar semua keputusan yang bakal saya terima nanti negatif.”


Tinggalkan Komen Anda Di Sini

Loading...