Pihak PLUS sebelum ini telah menguar-uarkan beberapa minggu lebih awal mengenai penggunaan Touch ‘n Go RFID secara berperingkat kepada pengguna plaza tol lebuh raya bermula 15 Januari lalu.
Namun, perlaksanaan pelekat RFID bagi menggantikan kad Touch ‘n Go dan Smart Tag itu menimbulkan pelbagai respon daripada pengguna jalan raya apabila ianya telah menjadi punca kesesakan teruk di beberapa plaza tol.
Sebagai contoh, menurut ahli Facebook Group Bandar Seri Putra Community (Official), kawasan trafik di tol Bandar Seri Putra, Bangi sememangnya sudah lama mengalami kesesakan trafik sejak dahulu lagi.
Namun, sejak perlaksanaan lorong RFID, pengguna jalan raya terpaksa menempuh kesesakan trafik dengan lebih lama berbanding sebelum ini.
Difahamkan juga, lorong SmartTag sedia ada juga telah digantikan dengan RFID menjadikan perjalanan pengguna ke tempat kerja masing-masing mengambil masa sehingga 1 jam hanya untuk melalui plaza tol terbabit.
Setiap hari laluan toll putra mahkota memang akan beratur panjang. Hari ini luar biasa kerana ramai tak tahu lorong SmartTag sudah digantikan dengan RFID. Sila pastikan lorong yang betul.
Manakala Kosmo Online pula melaporkan bahawa kesesakan yang sama turut berlaku di Tol Sungai Besi apabila keadaan trafik yang sesak kira-kira 10 kilometer menghala ke arah bandar Kuala Lumpur.
Sementara itu, orang ramai berpendapat bahawa perlaksanaan berperingkat kaedah pembayaran tol baharu itu telah menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang jauh lebih lama berbanding dahulu.