Dalam satu hantaran yang tular baru-baru ini, seorang individu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas secara terbuka dan berbangga mengaku “merembat” atau mengambil harta milik hospital berupa kain napkin untuk kegunaan peribadi.
Apa yang lebih mengejutkan, perbuatan tersebut bukan berlaku secara tidak sengaja atau sekali lalu, sebaliknya telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Menurut pengakuan individu berkenaan, kain napkin hospital itu mula diambil sejak kelahiran anak pertamanya. Kini, apabila anak keduanya sudah berusia sembilan bulan, bermakna barangan hospital tersebut telah berada dalam simpanannya hampir empat tahun.
Individu itu turut memuji kualiti kain berkenaan dengan menyifatkannya sebagai “sumpah lembut dan tahan lasak,” seolah-olah menjadikan perkara tersebut sebagai justifikasi untuk terus menyimpan harta hospital tanpa rasa bersalah.
Lebih mengejutkan, bukan seorang sahaja yang berbuat demikian. Terdapat juga individu lain yang mengakui melakukan perkara sama dan berkongsi pengalaman tersebut di media sosial seolah-olah ia adalah satu tindakan normal.
Netizen Kecam, Isu Linen Hospital Bukan Perkara Remeh
Rata-rata warga maya mengecam perbuatan tersebut. Mereka berpendapat, jika benar kain itu terbawa pulang secara tidak sengaja, tempoh hampir empat tahun adalah terlalu lama untuk tidak dipulangkan semula.
“Kalau betul ‘terbawa’ balik, sekali mungkinlah. Tapi kalau sampai dua orang anak masih simpan dan siap puji kain tu berkualiti, itu memang niat nak memiliki harta hospital,” tulis salah seorang netizen.
Seorang lagi netizen turut berkongsi realiti sebenar pengurusan linen hospital.
“Mesti Korang tidak tau kan hari² kain Linen bersih kena Timbang sebelum dihantar ke hospital dan dibayar oleh kerajaan.”
Menurut netizen yang berpengalaman sebagai penyelia, membawa keluar kain linen atau napkin dari hospital merupakan perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab kerana barangan tersebut sebenarnya adalah sewaan yang dibayar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khusus untuk kegunaan pesakit.

Apabila semakin ramai individu bertindak “mencuri” kain ini, stok simpanan hospital akan berkurangan dan secara tidak langsung menafikan hak pesakit lain yang lebih memerlukan.
Linen Hospital Ada Jangka Hayat, Kerugian Ditanggung Pengurusan
Penyelia linen turut menjelaskan bahawa setiap helai kain yang dibeli oleh syarikat perkhidmatan sokongan sepatutnya mempunyai tempoh jangka hayat penggunaan sehingga tiga tahun.
“Sangat mengecewakan apabila kain yang masih baru dan belum tamat tempoh (seperti kod tahun 25) sudah dibawa lari oleh individu yang tidak jujur, sekali gus menyebabkan kerugian kepada pihak pengurusan yang bertungkus-lumus memastikan kelengkapan hospital sentiasa mencukupi.”
Dalam pada itu, seorang lagi individu berkongsi bahawa sebarang kain jenis linen yang mempunyai tulisan adalah milik syarikat konsesi, dan pihak KKM hanya membayar sewaan untuk kegunaan — bukan milik kerajaan atau individu.
Isu ini sekali gus membuka mata orang ramai bahawa perbuatan yang dianggap “kecil” sebenarnya memberi kesan besar terhadap operasi hospital dan kebajikan pesakit lain.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
