Harga banglo milik usahawan kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat sekali lagi diturunkan selepas masih gagal menarik pembeli.
Menurut ejen hartanah, Ishaq Marazi, kediaman mewah yang terletak di Seksyen 10, Petaling Jaya itu kini ditawarkan pada harga RM3.41 juta, harga terendah setakat ini berbanding lelongan pertama yang bermula pada RM5.2 juta.
Lelongan kelima! Rumah Nur Sajat untuk dilelong lagi. Lelongan pertama RM5.2 juta. Kali ini harga lagi murah iaitu RM3.411 juta, termurah setakat ini.
Jelasnya lagi, proses lelongan baharu itu dijadualkan berlangsung pada 25 Ogos ini.
Untuk rekod, banglo dua tingkat yang terletak di kawasan eksklusif Selangor Polo & Country Club itu pernah ditawarkan pada harga RM9.5 juta dua tahun lalu, selepas Nur Sajat berhijrah ke Australia pada Oktober 2021. Namun, tiada pembeli berminat pada ketika itu.
Sajat kemudiannya menurunkan harga kepada RM7 juta, tetapi kediaman tersebut masih belum terjual sehingga kini.
Difahamkan, banglo itu pernah dimiliki oleh usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri sebelum dibeli oleh Nur Sajat pada tahun 2017 dengan harga sekitar RM7.5 juta.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.