Tidak pernah melupakan arena muzik meskipun kini sedang sibuk dalam bidang perniagaan dan usahawan, penyanyi Imran Ajmain berkata dia tetap ‘ketagih’ untuk beraksi secara langsung di hadapan penonton.
Ujar penyanyi lagu Seribu Tahun itu, meskipun sudah bertahun-tahun mengadakan persembahan di atas pentas, dia tetap bersemangat untuk melakukan perkara sama.
Dia yang kini fokus mengusahakan rekaan produk dan memberikan khidmat nasihat dalam bidang pemasaran mengakui bidang nyanyian sudah jatuh ‘nombor dua’ dalam hidupnya.
Walaupun ada kerjaya lain, saya tak boleh tinggalkan arena ini. Macam dadah, apabila sudah biasa naik pentas, rasa ketagih untuk buat persembahan lagi dan lagi. Rasa macam memanggil-manggil.
Tidak bernaung dengan mana-mana label muzik, Imran telah berjaya menghasilkan empat album sepanjang peglibatannya dalam industri muzik tanah air iaitu Dengan Secara Kebetulan (2007), Punca dan Tindakan (2009), Setulus Kasih (2014) dan Aidilfitri (2018).
Tambahnya lagi, dia terpaksa bekerja lebih keras dan kreatif bagi mempromosikan diri agar kekal relevan dalam industri ini.
Sebelum ini saya atur strategi mengadakan persembahan jelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan hubungi sendiri cafe dan restoran sebab saya tiada label.
Katanya lagi, dia tidak kisah menyanyi di majlis atau acara yang kecil, Imran mengganggap ia adalah sesuatu yang baik dan mendatangkan kepuasan maksima buat diri sendiri terutama sekali apabila melihat penonton terhibur dengan persembahan yang diberikan.