Penyanyi terkenal, Elyana, berkongsi perkembangan terkini mengenai tahap kesihatannya apabila memaklumkan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi bagi merawat kanser limfoma yang dihidapinya.
Menerusi hantaran di Instagram, Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal memuat naik foto dirinya berada di sebuah bilik hospital sambil duduk di atas katil, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan peminat.
Lebih menyentuh hati, pelantun lagu Kalis Rindu itu turut menitipkan luahan perasaan yang cukup mendalam.
“Sebenarnya aku sudah faham arah akhirnya ke mana, tapi aku masih ingin tinggal sedikit lebih lama.”
“Mahu menikmati sisa cerita sebelum semuanya benar-benar jadi kenangan,” tulisnya.
Perkongsian tersebut segera meraih perhatian rakan-rakan artis serta warganet yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan doa agar beliau terus kuat menghadapi ujian tersebut.

Untuk rekod, pada tahun 2017 Elyana pernah mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya menghidap kanser selepas tersingkir daripada program realiti nyanyian Gegar Vaganza musim keempat. Menurutnya, penyakit itu sebenarnya telah dikesan sejak 2010 dan pada ketika itu doktor menjangkakan beliau hanya mampu bertahan selama setahun.
Walau bagaimanapun, Elyana membuktikan ketabahan luar biasa apabila terus berjuang melawan penyakit tersebut sehingga kini.
Dalam kehidupan peribadi, Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada tahun 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Cinta Sumayah yang kini berusia 16 tahun. Selain itu, pasangan ini turut mengambil dua anak angkat iaitu Cahaya Ramadhani serta seorang anak angkat istimewa bernama Tulus.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
