Indonesia kini menjadi antara destinasi percutian kegemaran rakyat Malaysia berikutan kepelbagaian tempat menarik serta keenakan masakan Nusantara yang ditawarkan.
Namun, meskipun negara tersebut mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia, isu berkaitan status halal makanan masih timbul apabila terdapat segelintir pengusaha yang didapati mencampurkan bahan tidak halal dalam penyediaan makanan.
Terbaharu, restoran ayam goreng popular di Indonesia, Ayam Goreng Widuran mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan bahawa sebahagian menu yang dijual adalah tidak halal kerana menggunakan minyak babi.
Menurut Ranto, yang ditemui di warung tersebut, pihak pengurusan telah menjelaskan dengan tegas kepada pelanggan mengenai menu halal dan tidak halal, malah perkara itu turut dinyatakan dalam senarai menu.
Menu yang dimaksudkan ialah kremesan iaitu lapisan rangup yang membalut ayam goreng khas mereka yang digoreng menggunakan minyak babi, seperti dilaporkan CNN Indonesia.
“Pelanggan sudah dimaklumkan bahawa ia bukan halal. Malah sudah diberi cadangan mana yang tidak halal. Yang viral tu adalah kremesnya,” kata Ranto pada Sabtu (24 Mei).
Pihak pengurusan restoran juga menegaskan bahawa penandaan ‘Non Halal’ telah dilakukan sejak awal lagi di semua cawangan serta platform media sosial rasmi mereka.
“Kami telah meletakkan keterangan Non Halal dengan jelas di semua lokasi dan media sosial,” menurut kenyataan mereka.
Isu ini mula tular di platform X apabila seorang pengguna mengaku terkejut setelah mengetahui bahawa ayam goreng yang dimakan di restoran itu tidak halal, walhal majoriti pelanggan mereka adalah umat Islam.
Walaupun Ayam Goreng Widuran sudah terkenal sejak 1975, baru kini terbongkar bahawa hidangan popular mereka menggunakan minyak babi. Ramai pelanggan juga mengaku tidak tahu status tidak halal restoran itu dan menyangka ia menyediakan makanan halal.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.