Pengacara dan personaliti media sosial, Naz Rahman memaklumkan bahawa dirinya mengalami susut berat badan lebih 14 kilogram selepas menjalani pembedahan membuang tumor dalam perut.
Naz Rahman atau nama sebenarnya Nazrudin Habibur Rahman,44, mendedahkan bahawa pembedahan berulang kali yang dilakukan sejak lebih empat tahun lalu telah mengurangkan 15 peratus saiz perutnya sekaligus membuatkan dia kurus.
Katanya lagi, gara-gara susut berat badan, ada juga yang bertanyakan sama ada dia mengambil bahan terlarang apatah lagi ketika di bulan puasa menjadikan Naz kurus kering.
Apabila bulan puasa berat badan saya akan semakin susut sampaikan produksi pun banyak tanya adakah saya sakit? Ya memang betul saya sakit, tapi Insya-Allah masih boleh bekerja.
Difahamkan, Naz juga sudah bebas daripada jangkitan tumor tersebut dan kini perlu menjalani rawatan susulan di hospital.
Jujur saya katakan saya hilang 14 kilogram. Jadi saya nak ambil kesempatan ini bagi peminat yang bertanya kenapa kurus. Maaf saya tak suka uar-uarkan penyakit ini akan berpanjangan dan saya akan tetap ceria.
Dia yang ditemui media kelihatan girang seperti sedia kala dan mengakui dirinya perlu kuat dan tidak boleh berputus asa demi isteri dan anak-anak mereka.
“Ini merupakan pembedahan saya yang kesepuluh. Macam-macam dugaan dalam hidup ini, apa yang jadi ujian dari Allah, tetapi macam mana reaksi kita kepada ujian itu yang penting. Saya ada pilihan nak sedih, memang patut tetapi demi isteri dan anak-anak, saya tidak mahu.” ujarnya lagi.