Bertindak melarikan kenderaan milik pasukan polis, dua beradik dan seorang wanita kini ditahan.
Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar jam 9.15 malam apabila dua lelaki yang juga adik beradik itu khabarnya hadir ke bahagian kenderaan dan mendakwa mereka adalah anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat bagi melakukan pemeriksaan ke atas kamera (dashcam) yang terdapat dalam MPV model Honda Civic 1.8S itu.
“Kejadian berlaku sangat pantas, dan suspek terus memecut kereta MPV keluar daripada perkarangan IPD SPU berkenaan sebelum penyelia bahagian kenderaan itu sempat berbuat apa-apa, dan dia juga tidak mengesyaki apa-apa,”
Memetik laporan Bernama, penyelia itu yang juga anggota polis berpangkat sarjan menyedari kenderaan tersebut dilarikan selepas setengah jam tidak kembali semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), malah kenderaan itu juga gagal dihubungi.
Bagaimanapun, ia berjaya dikesan di Shah Alam, Selangor, beberapa jam kemudian.
Polis juga telah menahan seorang suspek lelaki serta seorang wanita dipercayai teman wanitanya yang berada di dalam kenderaan yang sama.
Rentetan itu, seorang lagi lelaki, iaitu adik kepada suspek pertama turut ditahan di Tasek Gelugor awal pagi ini.
“Siasatan mendapati suspek mulanya mengambil teman wanitanya di Tasek Gelugor, dan pasangan kekasih berkenaan dipercayai cuba menyamun sebuah kedai runcit sebelum memandu ke Shah Alam, difahamkan dia bertindak sedemikian (curi kenderaan) kerana mahu menunjuk kepada teman wanitanya,”
Untuk rekod, suspek dikatakan pernah ditahan pada 15 Okt lalu kerana mencuri kabel elektrik.
Bukan itu sahaja, adik beradik itu juga mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta masalah mental.
Sumber: Harian Metro, Bernama