Baru-baru ini, ramai dikejutkan dengan pendedahan pelakon Fatin Afeefa yang mendakwa bekas suaminya, Adam Shahz berkongsi bilik dengan kekasihnya ketika bercuti dan dalam pada masa yang sama turut disertai anak mereka, Ivy Herra Sophia.
Tak lama kemudian, pelakon wanita itu bertindak memadam video berkenaan selain memuat naik permohonan maaf buat bekas suaminya dalam ruangan IG Story miliknya.
Pun begitu, Adam Shaz nampaknya nekad membawa kes ini ke pengadilan kerana merasakan bahawa tindakan bekas isterinya mengaibkannya selain boleh menjatuhkan reputasi.
Memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan bekas isterinya itu, pelakon lelaki tersebut tekad dengan pilihan untuk menyaman Fatin.
“Cukuplah menyeksa saya selama lebih empat tahun kami bercerai. Saya sudah lama bersabar, tetapi nampaknya Fatin sengaja mahu menguji kesabaran saya.”
Adam menyatakan bahawa dia akan membawa kes ini ke mahkamah bagi menjelaskan segala-galanya termasuk menyertakan bukti sebenar.
“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Jalan terbaik adalah membawa kes ke mahkamah. Di sana, saya akan menjelaskan segala-galanya termasuk bukti sekali.”
Bukan itu sahaja, Adam turut meluahkan rasa kesal apabila Fatin mengungkit isu nafkah untuk anak mereka. Jelasnya, dia pernah meminta bekas isterinya itu membawa kes berkenaan ke muka pengadilan sekiranya tidak berpuas hati, namun tiada sebarang tindakan diambil wanita itu.
“Sebelum ini, saya pernah minta Fatin membuka fail jika benar saya berada di pihak yang salah. Tetapi, sudah lebih empat tahun bercerai, tiada sebarang tindakan yang diambil. Oleh kerana dia enggan mengambil sebarang tindakan, jadi biarlah saya yang memulakan langkah.”
Harap kedua belah pihak dapat menyelesaikan perkara ini dengan baik.