“Cukup-cukuplah Tunggang Agama Demi Kepuasan Anda”- Lelaki Kahwin Kanak-kanak 11 Tahun Dibidas

Trending

“Cukup-cukuplah Tunggang Agama Demi Kepuasan Anda”- Lelaki Kahwin Kanak-kanak 11 Tahun Dibidas

KAHWIN 41 tahun (suami) vs.  11 tahun (isteri)

DALIL AYAT AL QURAN

Tidak ada satu ayat Quran dengan jelas memberikan umur minima perkahwinan yang spesifik tetapi mengguna terma ‘balagh an nikah’ seperti dalam surah an Nisa: 6

Advertisement

“Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kawin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya.

DALIL HADITH

Riwayat dari Hisham bin Urwah, daripada Aisyah RA, bahawa beliau berkata:

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2547]
Maksudnya: “Nabi SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 3605]

Namun begitu, ada perdebatan mengenai hadith diriwayatkan oleh Hisham bin Urwah yang menyatakan umur Aishah bukan 6 tahun ketika perkahwinan tetapi berumur dalam linkungan 14 – 16 tahun beserta dengan dalil-dalil.

Antaranya di mana Rasulullah tidak membenarkan kanak-kanak lelaki yang berumur 14 tahun ke bawah untuk mengambil bahagian dalam peperangan. Di kalangan kanak-kanak bawah umur ini termasuklah Samrah bin Jundub, Bara’ bin Azib, Anas bin Malik, Zaid bin Thabith dan Abdullah bin Umar r.a. . Ibn Umar r.a. tidak dibenarkan menyertai Perang Uhud kerana beliau berumur 14 tahun ketika itu dan peperangan pertama yang disertainya ialah Perang Ahzab atau dikenali dengan nama Perang Khandak. Oleh itu, had umur untuk menyertai satu-satu peperanganialah 15 tahun. Angka ini amat penting sehingga sesetengah ahli feqah, dengan berdasarkan riwayat Ibn Umar ini, telah menetapkan had kematangan ( baligh ) adalah sekurang-kurangnya 15 tahun.

Jadi sekiranya Rasulullah s.a.w. hanya membenarkan mereka yang berumur 15 tahun ke atas untuk mengambil bahagian dalam peperangan, bagaimana mungkin seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur dibenarkan untuk turut serta dalam peperangan?

Mengikut sejarah, Aishah ikut serta dalam peperangan Badar dan Uhud , bermakna umur beliau adalah 15 tahun keatas ketika itu. Berdasarkan riwayat Bukhari ini jelas menunjukkan:
1-Aishah mengikuti peperangan Uhud dan umur beliau telah menjangkau 15 tahunketika itu,
2-Jika umur Aishah pada 625 Masehi (3 hijrah) ialah 15 tahun, maka Aishah dilahirkan pada 610 masehi,
3-Aishah berkahwin dengan Rasulullah pada 623 masehi bersamaan 1 hijrah bermakna pada ketika itu beliau berusia 14 tahun.

DALIL UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM BERTULIS DI MALAYSIA

AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
BAHAGIAN II – PERKAHWINAN

Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan

Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.
[Pin. Akta A902:s.4]

Peruntukan ini bermaksud hakim mahkamah syarie tidak akan meluluskan permohonan perkahwinan di bawah umur seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun melainkan dengan keizinan wali mujbir/ayahnya atas sebab2 yang dibenarkan di bawah hukum syara setelah kedua pihak di panggil ke mahkamah dan yang utama kebajikan kanak-kanak bawah umur itu terpelihara.

CONTOH KES-KES TIDAK DILAPOR / UNREPORTED CASE

1. Kuala Krai, kelantan 2010. Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun telah dinikahkan oleh ayahnya dengan seorang lelaki berusia 41 tahun, Sudin Ajaib yang sudah pun beristeri dengan alasan mengikut sunnah Rasululullah. Alasan yg diberikan adalah mengajak anaknya bersekolah di tahfiz milik lelaki tersebut kerana sekiranya anaknya menjadi hafizah memudahkan ibubapanya senang di akhirat kelak. Tertipu dengan ajakan tersebut, ayahnya telah membawa anaknya tanpa pengetahuan ibunya sendiri dan telah menikahkannya dengan Sudin. Sudin telah melarikannya ke kuala lumpur dan setelah 20hari, kanak-kanak itu dijumpai ditinggalkan dalam keadaan tidak bermaya di Masjid al Ikhwan, Taman Samudera. Ibunya telah dihubungi polis dan ketika bertemu dia didalam keadaan trauma.

2. Kuala Lumpur. Seorang gadis berusia 14 tahun telah bertunang secara rasmi dengan teman lelaki pilihannya yang berusia awal 20an dengan keizinan ayahnya. Semenjak bertunang, si gadis dengan pasangannya semakin kerap keluar dan melakukan maksiat atas alasan mereka telah bertunang dan bakal menjadi suami isteri. Demi mengelakkan maksiat lebih besar, si ayah membuat permohonan ke mahkamah syariah untuk mendapat keizinan bertulis membenarkan perkahwinan anaknya yand berusia di bawah umur minima 16 tahun. Untuk menjaga agama, nasab dan maruah keluarga, mahkamah mengizinkan perkahwinan gadis tersebut yang berusia di bawah umur minima.

PERSOALAN

Perkahwinan yang viral dibincangkan ini ialah antara seorang lelaki berusia 41 tahun yang telah mempunyai 2 orang isteri dengan seorang kanak-kanak berusia 11tahun, yang mana isteri ke 3 ini lebih muda dari anak sulong lelaki tersebut yang berusia 16 tahun. Kesahan/validity perkahwinan ini dari hukum syara tidak dipersoalkan sama sekali kerana wali mujbir/ayah telah memberi keizinan, mendapat persetujuan dari kanak-kanak tersebut dan lain-lain rukun nikah telah dipenuhi. Namun bila menggunakan hadith Rasulullah berkahwin dengan Aishah di usia yang sangat muda untuk membenarkan tindakan untuk lelaki ini untuk bekahwin memang adalah satu yang hina (sebagaimana sesetengah lelaki menggunakan hadith Rasulullah berpoligami atau ayat 3:surah an Nisa sedangkan mereka tidak tidak berkemampuan dan berlaku ‘adil) bilamana:

1. Menurut akhbar, sebaik sebelum berkahwin, bilamana isteri kedua bertanya adakah dia akan berkahwin dengan kanak-kanak ini? Lelaki ini menidakkan dengan alasan dia tidak akan kahwin dengan budak yang sebaya dengan anaknya sedangkan sebaliknya.
2. Bila lelaki ini sudah berkahwin, dan diketahui isteri keduanya setelah diberitahu isteri pertama, lelaki ini terus tidak berhubung dengan isteri-isterinya.
3. Isteri sedia ada sendiri berkata bahawa lelaki ini tidak bertanggungjawab dalam keadaan dia berpoligami di mana nafkah isteri-isteri dan anak-anak sedia ada tidak diberikan secukupnya
4. Yang paling hina dan menjijikkan bila lelaki ini mengaku telah mempunyai hubungan dengan kanak-kanak bawah umur sejak 4 tahun lepas ketika kanak-kanak ini berumur 7tahun sehingga kanak-kanak semuda ini telah jatuh cinta dan sayang kepada si lelaki ini.

Betapa hina perbuatan dia mengambil kesempatan ke atas seorang kanak-kanak yang hidup bersama ibubapa yang susah, semata-mata untuk memuaskan nafsu serakahnya dan kemudian menggunakan hadith Rasulullah sendiri berkahwin dengan Aishah yang ketika itu seorang kanak-kanak. Walaupun dia mengatakan tidak akan menyentuh atau tidur bersama sehingga kanak-kanak ini cukup umur, tapi dia “grooming” kanak-kanak tersebut sejak dia berumur 7tahun adalah satu yang telah dirancang.

Adakah tujuan Rasulullah berkahwin Aishah sama seperti si lelaki ini? Adakah Rasulullah bercinta sebelum berkahwin? Adakah Rasulullah seorang yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab? Adakah Rasulullah mengambil kesempatan ke atas orang-orang yang susah dan miskin? Cerminlah diri anda terlebih dahulu. You are the man in the mirror.

Tolong jangan menggunakan agama untuk kepentingan nafsu dan kejahatan diri. Cukup-cukuplah menunggang agama demi kepuasan anda. Wallahu ‘alam.

Pandangan peribadi sebagai pensyarah Undang-undang Keluarga Islam.

Dr. Noraini Md Hashim
Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber: Noraini Md Hashim

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...