Bermula pada 1 Julai yang lalu, cukai gula dikenakan ke atas minuman yang mengandungi gula melebihi 5g bagi setiap 100ml, untuk minuman jus pula yang mengandungi lebih 12g gula bagi setiap 100ml.
Cukai eksais 40 sen seliter dikenakan ke atas minuman bergula yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 April 2019 kemudiannya ditangguhkan kepada 1 Julai 2019.
Menurut Pengarah Eksekutif National Diabetes Institute (NADI), Malaysia mempunyai kiraan diabetes yang paling tinggi di Asia dan salah satu yang tertinggi di dunia.
Dalam satu kajian oleh NADI juga, hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka mempunyai penyakit diabetes.

Diabetes merupakan penyakit kronik yang dikaitkan dengan kadar gula yang tinggi dalam darah dan seramai 3.6 juta rakyat Malaysia menghidapi penyakit diabetes.
Walaupun pelaksanaan ini mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat Malaysia, dijangkakan kadar pembelian akan turut berkurangan.
Cukai gula bukan saja memberi kesan kepada pembeli tetapi juga untuk pengeluar dalam memasarkan produk mereka. Diharapkan pengeluar dapat melakukan inovasi baru dalam mengeluarkan produk kurang gula.
Kesan positif daripada pelaksanaan ini adalah kita dapat melahirkan rakyat Malaysia yang lebih peka dengan pengambilan gula dan dapat mengurangkan gula dalam pengambilan seharian.