Sangat mesra dan rapat antara satu sama lain, sudah beberapa kali pelakon Alvin Chong dan Emma Maembong dikatakan mempunyai hubungan istimewa. Saling membuat kejutan dan disertai oleh hadiah istimewa untuk hari jadi masing-masing, ia menguatkan lagi dakwaan hati Alvin dan Emma dipenuhi rasa kasih antara satu sama lain.
Tidak mahu orang ramai terus salah faham dengan keakraban mereka, Alvin mengakui beliau takut untuk keluar dengan Emma lagi. Sengaja mengelak diri kerana tidak mahu menimbulkan sebarang masalah.
Kami pernah keluar bersama tetapi bukan berdua kerana turut ditemani pengurus serta rakan. Namun, tetap ada individu yang tidak peduli biarpun ada orang lain bersama kami. Asalkan nampak kami bersama, pasti ada salah anggap dan ingat kami bercinta.
Saya cuba elak diri kerana tidak mahu menimbulkan masalah di antara saya dan Emma. Oleh itu, saya bimbang mengajak dia keluar sekali lagi.
Alvin dan Emma mula bersahabat baik sejak membintangi drama Awak Suka Saya Tak. Kemesraan mereka mula menjadi perhatian dan dikatakan sedang hangat bercinta selepas hubungan Emma dan Kamal Adli putus.