Seorang pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka sanggup membakar wang tunai bernilai hampir RM1 juta kerana terkejut apabila kediamannya diserbu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kata sumber, tindakan itu dilakukan individu tersebut yang ditahan SPRM kerana terbabit rasuah berhubung perolehan tender projek pembinaan pusat data.
Ketika serbuan dijalankan di rumahnya di Petaling Jaya Khamis lalu, pasukan pegawai SPRM telah menemui wang kertas RM100 di bilik mandi dalam keadaan terbakar dan keseluruhannya berjumlah hampir RM1 juta.
Tambah sumber, ketika melihat kehadiran sepasukan pegawai SPRM di kediamannya, suspek bertindak nekad mengambil beberapa bungkusan wang tunai dan cuba melupuskannya.
Selepas pintu rumah berjaya dibuka, pasukan SPRM yang membuat serbuan mendapati keadaan dalam rumah berkenaan dipenuhi asap tebal berpunca dari sebuah bilik mandi.
Menurut laporan, hasil pemeriksaan menyeluruh di rumah suspek, SPRM berjaya menjumpai wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang disimpan di dalam beberapa kotak bantal.
Selain itu, pasukan pegawai juga menemui tiga utas jam tangan jenama Rolex, Omega dan Cartier selain barang kemas seperti cincin serta syiling emas.
Kesemua barangan tersebut kemudian disita oleh SPRM untuk tujuan siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya menegaskan bahawa tindakan suspek cuba melupus bahan-bahan bukti adalah satu kesalahan serius.
Boleh didakwa di bawah seksyen 201 Kanun Keseksaan serta membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.