Umum menyedari bahawa penularan COVID-19 telah memberi kesan kepada perancangan masa depan kita. Mana tidaknya segala aktiviti yang berkaitan perhimpunan ramai sudah tidak dibenarkan lagi.
Ramai daripada kita yang berasa kecewa dengan perkara tersebut, termasuklah pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka dan terpaksa membatalkannya berikutan penularan wabak COVID-19 kini.
Baca: [Foto] Majlis Kahwin Musim COVID-19 Hanya Perlu ‘Drive-Thru’ Dan Ambil Makanan
Peka dengan masalah itu, Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini dikatakan telah melancarkan perkhidmatan perkahwinan secara “online” yang membolehkan pasangan yang ingin bernikah melangsungkan perkahwinan mereka dari jarak jauh.
Perkhidmatan itu dilaksanakan bagi mengambil langkah berjaga-jaga dalam mencegah penyebaran virus tersebut.
Kedua calon pengantin dikatakan hanya perlu log masuk ke laman web tertentu untuk mengemukakan dokumen dan seterusnya memilih jurunikah pilihan mereka sendiri.
Apabila segala maklumat pernikahan sudah dihantar, tarikh majlis untuk pasangan pengantin dinikahkan akan ditetapkan.
Upacara pernikahan akan dilakukan secara langsung atas talian melalui pautan video.
Berikutan perkhidmatan itu, jurunikah akan meminta tandatangan pasangan itu secara atas talian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kontrak perkahwinan.
Seterusnya, pegawai nikah akan memfailkan semua dokumen yang diperlukan oleh mahkamah undang-undang untuk mengesahkan perkahwinan pasangan.
Perkhidmatan ini bertujuan khusus untuk mengekalkan kesihatan dan keselamatan orang ramai.