Hanya untuk mendapatkan bubble tea, orang ramai rela untuk beratur sepanjang 100 meter untuk mendapatkan minuman tersebut di sebuah kedai popular di Bandar Changsha, Hunan. Kedai tersebut beroperasi semula pada 23 Februari lalu setelah ditutup susulan ancaman wabak coronavirus.
Walau bagaimanapun, premis minuman yang tidak didedahkan nama itu telah menetapkan peraturan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan penyebaran wabak tersebut dengan pelanggan perlu beratur jarak 1.5 meter di antara pelanggan yang lain menurut salah satu laporan berita tempatan.
Masa menunggu juga telah meningkat antara sejam kepada dua jam. Namun, pelanggan tetap beratur untuk membeli minuman tersebut.
Kedai minuman bubble tea tersebut juga menampal satu garisan kuning pada jalan yang tertera arahan untuk meminta pelanggan memakai topeng muka serta beratur di belakang garisan kuning.
Terdapat laporan yang mendedahkan bahawa pekerja premis minuman tersebut akan memeriksa suhu badan pelanggan dan memberikan hand sanitizer sebelum dibenarkan membuat pesanan.
Sementara itu, wilayah Hunan terletak di sebelah wilayah Wuhan yang terjejas teruk akibat wabak coronavirus. Pada Februari, wilayah Hunan juga dilaporkan dilanda wabak selsema burung H5N1.
Artikel berkaitan: China Musnahkan 18,000 Ekor Ayam Ekoran Virus Selsema Burung H5N1 Yang Menular Di Wilayah Hunan