Hari ini akan menjadi sejarah buat negara yang akan melaksanakan program imunisasi Covid-19 secara besar-besaran di Klinik Kesihatan Putrajaya.
Ia bertujuan untuk melindungi rakyat daripada wabak penyakit berjangkit yang telah meragut lebih 1,000 nyawa.
Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah individu pertama yang akan menerima suntikan satu daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech pada jam 3 petang bertempat di Klinik Kesihatan Putrajaya, Presint 11.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah antara individu yang dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin bersama empat lagi petugas Kementerian Kesihatan di klinik yang sama.
Sementara itu, pemimpin di seluruh dunia seperti Perdana Menteri Singapura dan Presiden Indonesia juga mengetuai senarai yang menerima suntikan vaksin dalam memberi keyakinan kepada rakyat bahawa vaksin yang diberikan selamat digunakan.
Selain itu, sebanyak 312, 390 dos vaksin Pfizer-BioNTech telah tiba di Malaysia dan dihantar ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan juga Johor di mana vaksin berkenaan dibawa ke Singapura yang menjadi hab pengagihan vaksin Covid-19 ke negara Asia Pasifik.
Mereka yang akan menerima suntikan pada hari ini akan diberikan taklimat khusus selain perlu menandatangani borang persetujuan.
Seramai 571,802 anggota barisan hadapan mendaftar untuk mendapatkan suntikan itu dengan 57.3 peratus adalah petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7 peratus anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Selain itu, sekumpulan guru dan wartawan juga akan dipilih untuk menjadi kumpulan pertama yang akan menerima suntikan vaksin dalam program tiga fasa berkenaan.
Turut diumumkan kumpulan kedua vaksin yang sama akan tiba di negara pada hari ini sebanyak 182,520 dos.