Sebuah bengkel jahitan Penjara Penor di Kuantan kini ‘mengendalikan’ tempahan pakaian paling penting yang digunakan oleh petugas kesihatan dalam mengendalikan pesakit Covid-19, iaitu Peralatan Perlindungan Diri (PPE).
Baca: (Video) Covid-19 Petugas Kesihatan Di Malaysia DIY Beg Plastik Sebagai Ganti PPE
Menurut Pengarah Penjara Penor Datuk Abu Hassan Hussain, bagi menghasilkan sepasang PPE mereka memerlukan material sepanjang 5 meter dan kini mereka telah menerima sebanyak 2,000 meter material bagi menghasilkannya.
Untuk pengetahuan anda, bengkel ini sudah mula menghasilkan PPE sejak 27 Mac yang lalu dan sebanyak 20 pasang PPE berjaya dihasilkan hanya dalam satu hari.
PPE yang siap dijahit dikatakan terus dihantar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diagihkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri.
Dikhabarkan, seramai 18 banduan telah ditempatkan di bengkel tersebut dan mereka bekerja keras dalam mengukur, memotong dan menjahit bermula jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari bagi menghasilkan PPE yang diperbuat daripada material khas berwarna biru itu.
“Buat masa ini, bengkel jahitan turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad berbeza daripada kelaziman kerana menyedari keperluan mendesak terhadap PPE ekoran peningkatan jumlah pesakit Covid-19.
Bagi memastikan PPE yang dihasilkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pihak kesihatan, beberapa kakitangan penjara sudah pun mengikuti taklimat pembuatan PPE ini pada 25 Mac lepas.
Selain itu, anak dan anggota serta kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) juga turut bekerjasama dalam menghasilkan sebanyak 525 unit pelindung muka.
Banduan di sini dikatakan sangat mahir mengendalikan mesin jahit kerana sudah mempunyai banyak pengalaman dalam menjahit pakaian seragam. Oleh itu, mereka yang terlibat dalam menjahit PPE ini tidak mengambil masa yang lama untuk memahami cara pembuatan menjahit pakaian pelindung tersebut.
Bagi melancarkan perjalanan tugas, mereka telah mewujudkan tiga stesen khas yang terdiri daripada membahagikan material, memotong dan menjahit.
Proses yang paling renyah untuk dilakukan ialah memasukkan getah yang bertujuan mengetatkan bahagian pergelangan tangan, dagu topeng muka dan pelindung kasut.
PPE yang siap juga perlu melalui kawalan kualiti oleh kakitangan penjara.
Mengenai tugas baharu itu, seorang banduan yang dikenali sebagai Man, 26, yang dipenjarakan atas kesalahan dadah menyifatkan bantuannya sebagai ‘pemotong PPE’ hanyalah sebagai ‘sumbangan kecil’ dari dirinya kepada negara yang sedang berdepan situasi mencabar ini.
Anak jati Kuala Ibai, Terengganu itu berkata lagi, dia mengetahui mengenai wabak Covid-19 ini daripada ibunya yang datang melawat pada 15 Mac lalu.
Saya tahu ia mudah berjangkit… dalam diam, saya bangga juga kerana masih dapat membantu walaupun dari penjara.
Sumbangan saya tidak besar, namun saya harap ia boleh melindungi kakitangan kesihatan yang sedang berjuang.
Seorang lagi, Saiful, 33, pula berharap PPE yang mereka hasilkan ini dapat menampung kekurangan peralatan itu yang difahamkan amat penting dalam mengendalikan pesakit Covid-19.
Dia juga turut meluahkan rasa gembira kerana kemahiran menjahit yang dipelajari selepas ‘berada di dalam’ membolehkan dia membantu mereka yang memerlukan.
Terima kasih kerana turut membantu.