Beberapa jenama makanan popular yang menjadi kegemaran sejak berdekad lama di seluruh dunia kini tidak lagi dikenali dengan nama asalnya di Malaysia.
Ia termasuk menu utama rangkaian makanan segera A&W seperti “Coney Dog” dan “Root Beer”, yang kini dinamakan semula “Chicken Coney” atau “Beef Coney”, dan “Root Beer” yang kini dikenali sebagai “RB”.
“Kita tukar sebab nama itu ada konflik kalau kita nak mohon sijil halal,” kata penolong pengurus jaminan kualiti dan halal A&W, Shahidah Wahid, mengesahkan penukaran nama itu 2 tahun lalu, ketika dihubungi FMT.
Keputusan itu susulan garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menganugerahkan sijil halal kepada mana-mana pengusaha restoran dan makanan, yang antara lain melarang penggunaan istilah yang sinonim dengan bahan tidak halal.
Dokumen bertajuk “Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia” yang dikeluarkan 2 tahun lalu itu menyenaraikan perkataan “ham”, “bak kut teh”, “bacon”, “beer”, “rum”, “hotdog” dan “charsiew”, antara istilah yang menurut Jakim boleh “mengelirukan”.
Ia merupakan antara 9 syarat pensijilan halal terhadap pengilang yang memohon sijil halal daripada Jakim.
Sumber : FMT