Ciri Pembayaran Bersama Tawar Premium Insurans Lebih Rendah

Gaya Hidup

Ciri Pembayaran Bersama Tawar Premium Insurans Lebih Rendah

Pada tahun 2023, Malaysia mencatatkan inflasi kos perubatan sebanyak 12.6%, jauh lebih tinggi daripada purata global sebanyak 5.6%.

Selain kos perkhidmatan hospital yang menjadi penyumbang utama untuk tuntutan produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT), penggunaan perkhidmatan perubatan yang tinggi telah menyumbang kepada inflasi kos perubatan yang tinggi. Sesetengah penggunaan ini mungkin sebenarnya boleh dielakkan.

Advertisement

Persoalannya, apakah impaknya terhadap premium insurans anda?

Hal ini akan menyumbang kepada premium yang lebih mahal untuk semua orang dan menjejaskan kemampanan produk MHIT. Ini disebabkan insurans dan takaful adalah berdasarkan konsep pengumpulan risiko.

Apabila anda membayar premium anda, ia akan dikumpulkan ke dalam kumpulan dana yang disumbangkan oleh pemegang polisi-polisi lain. Dana tersebut akan digunakan untuk membayar perbelanjaan yang boleh dituntut untuk ahli-ahli kumpulan tersebut.

Ini bermakna anda akan berkongsi risiko kewangan bersama ahli-ahli kumpulan. Apabila tuntutan meningkat, premium produk MHIT perlu ditingkatkan untuk memastikan dana yang mencukupi untuk kumpulan tersebut, seiring dengan peningkatan kos perubatan.

Jika premium tidak meningkat seiring dengan tuntutan yang meningkat, banyak produk MHIT menjadi tidak mampan dalam jangka masa panjang.

Untuk menangani masalah ini, produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama (co-payment) diperkenalkan pada 1 September 2024 oleh syarikat insurans/pengendali takaful.

Apa itu pembayaran bersama (co-payment)? Adakah ia dapat menawarkan kos premium yang lebih rendah? Kalau nak tahu, baca sampai habis.

Ciri Pembayaran Bersama (Co-Payment)

Untuk mudah difahami, dengan ciri pembayaran bersama (co-payment), anda perlu bayar sebahagian daripada kos perubatan yang ditetapkan terlebih dahulu, manakala selebihnya akan ditanggung oleh syarikat insurans/pengendali takaful.

Terdapat dua jenis pembayaran bersama (co-payment) yang anda boleh pilih iaitu:

Deduktibel: Anda boleh buat pembayaran awal untuk rawatan perubatan sebelum syarikat insurans anda menanggung kos selebihnya

Insurans/Takaful Bersama (co-insurance/co-takaful): Anda perlu bayar peratusan tetap bil rawatan perubatan dan syarikat insurans anda akan membayar kos selebihnya

Berdasarkan Bank Negara Malaysia (BNM), ciri pembayaran (co-payment) bersama yang minimum ialah RM500 atau 5% daripada jumlah boleh dituntut, namun tertakluk pada had maksimum bayaran bersama yang ditetapkan oleh syarikat insurans/pengendali takaful. Sebagai contoh, dengan andaian bil perubatan sebanyak RM2,000:

BNM Ciri Pembayaran Bersama

*Tertakluk pada terma dan had polisi

Anda pasti tertanya mengapa BNM mengeluarkan dasar pembayaran bersama ini? Sebabnya adalah:

– mempelbagaikan rangkaian produk MHIT;

– menggalakkan penawaran MHIT yang berterusan dan mampu milik; dan

– menggalakkan penggunaan produk MHIT yang lebih bertanggungjawab bagi menangani inflasi kos perubatan yang tinggi.

Produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama adalah lebih mampu milik berbanding dengan produk tanpa ciri pembayaran bersama. Ini disebabkan pengguna boleh memilih produk pada kos lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan kesihatan masing-masing.

Ada Pengecualian kepada Pembayaran Bersama. Ini Antara Syarat Ditetapkan Oleh BNM Untuk Memelihara Kepentingan dan Kemampuan Pengguna

BNM juga telah meletakkan syarat kepada syarikat insurans/ pengendali takaful, bagi memudahkan tahap mampu milik bagi pembelian produk MHIT.

Antaranya:

1. Pembayaran bersama (co-payment) tidak terpakai dalam situasi berikut:

– rawatan kecemasan, termasuk kes kemalangan;

– rawatan pesakit luar untuk rawatan susulan bagi penyakit kritikal seperti kanser, atau dialisis buah pinggang; dan

– rawatan di fasiliti kesihatan Kerajaan.

2. Syarikat insurans perlu membuat pertimbangan sewajarnya kepada sebarang kesulitan kewangan atau keadaan yang dihadapi oleh pemilik polisi dengan budi bicara untuk memberi pengecualian terhadap pembayaran bersama dalam keadaan sedemikian.

Maksudnya, jika anda sedang mengalami masalah kewangan semasa menggunakan polisi insurans pembayaran bersama, anda boleh berbincang dengan syarikat insurans anda untuk pengecualian pembayaran bersama.

Rancang Kewangan Masa Hadapan, Pilihan Di Tangan Anda

Bermula 1 September 2024, syarikat insurans/ pengendali takaful dikehendaki menawarkan pengguna pilihan produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama bagi produk insurans yang mereka jual dan meneruskan pelan sedia ada tanpa pembayaran bersama.

Sebagai seorang pengguna, anda terus mempunyai pilihan untuk membeli produk MHIT sama ada yang mempunyai atau tidak mempunyai ciri pembayaran bersama.

Jadi, dari situ, anda boleh buat perancangan kewangan anda dengan melakukan perbandingan antara semua polisi yang ditawarkan oleh syarikat insurans/ pengendali takaful pilihan anda.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang ciri pembayaran bersama (co-payment) ini, sila hubungi syarikat insurans/ pengendali takaful anda.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...