Cipta Akaun Palsu Di Facebook Dan Curi Gambar Orang Lain Semakin Menjadi-Jadi

Trending

Cipta Akaun Palsu Di Facebook Dan Curi Gambar Orang Lain Semakin Menjadi-Jadi

Segelintir individu didapati mewujudkan akaun palsu di facebook yang dilihat semakin menjadi-jadi. Lebih teruk lagi, gambar yang digunakan langsung tidak diketahui oleh mangsa dan boleh menyebabkan risiko terjadinya kejadian yang tidak diingini.

Itu yang berlaku kepada seorang wanita. Terkejut apabila melihat gambar wajahnya secara tiba-tiba jadi tular dan menerima pelbagai kecaman daripada netizen.

Advertisement

“Ia membuatkan saya takut dan trauma berkongsi gambar di media sosial,” ujar Nur Asyikin Ibrahim, 30, apabila gambarnya menjadi tular selepas digunakan individu lain bagi mencipta akaun Facebook palsu.

Gambar Nur Asyikin tular sejak kelmarin apabila akaun palsu terbabit memuat naik status menghina penunggang motosikal dan turut mengundang kemarahan ramai netizen.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia mula menyedari gambar wajahnya tersebar selepas dimaklumkan rakan yang melihat gambarnya dimuat naik di pelbagai kumpulan Facebook.

“Selepas diselidik, saya dapati ada tiga akaun palsu menggunakan gambar yang dicuri dari Facebook saya.”

“Satu daripada akaun terbabit menggunakan nama Nurul Sakinah Samad dan pemilik akaun itu didapati dengan sengaja memuat naik status tidak baik sehingga mendatangkan kemarahan netizen. Akibatnya saya yang menjadi mangsa.”

“Malah, ada antara netizen turut melemparkan perkataan kesat dan ugutan terhadap saya kerana menyangka gambar profil digunakan akaun berkenaan adalah wajah sebenar pemilik akaun Facebook itu,” katanya, semalam.

Nur Asyikin yang kini menetap di Kota Bharu, Kelantan berkata, dia tidak menyangka individu terbabit sanggup menggunakan gambar miliknya sehingga mengaibkan dirinya.

“Saya tidak tahu apa tujuan sebenar pemilik akaun palsu terbabit berbuat demikian sedangkan saya tidak menyakiti atau bermusuhan dengan sesiapa pun,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Saya harap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dapat menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti dan mengesan individu yang tidak bertanggungjawab ini.”

“Saya bimbang sekiranya gambar saya turut digunakan oleh akaun palsu berkenaan bagi melakukan jenayah seperti penipuan urus niaga dalam talian dan sebagainya,” katanya.

Sumber : Cari

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...