China terus melarang umat Islam di wilayah Xinjiang daripada menunaikan ibadah puasa pada tahun ini sama seperti sebelum ini, lapor beberapa media antarabangsa.
Larangan yang dipercayai dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Awam di Beijing itu dihebahkan melalui laman web beberapa agensi kerajaan kepada kakitangan awam, guru dan pelajar.
Jabatan kajicuaca di Qaraqash di barat Xinjiang menyebut larangan itu sebagai “arahan pihak atasan” dan ia meminta “semua kakitangan dan bekas kakitangan untuk tidak berpuasa dalam bulan Ramadan”.
Parti Komunis China dan pemerintah di Xinjiang sebelum ini menyekat sebarang perhimpunan berbentuk keagamaan atas sebab-sebab keselamatan. Ia bimbang perhimpunan seumpama itu dijadikan pentas untuk menyebarkan mesej gerakan pemisah.
Biro hal ehwal perdagangan di Turfan melalui laman webnya meminta kakitangannya tidak berpuasa atau terlibat dalam sebarang aktiviti keagamaan. Sebuah laman web lain menyebut: “Kami mengingatkan semua bahawa mereka tidak dibenarkan untuk berpuasa.”
Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, larangan itu dikecam oleh kumpulan etnik Uighur yang melarikan diri dari China dan hidup dalam buangan.
Jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit berkata tindakan kerajaan China yang menindas itu akan mencetuskan lebih banyak ketegangan.
“Kami menggesa China agar memastikan kebebasan agama untuk Uighur dan menghentikan sebarang penindasan politik melibatkan bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh media antarabangsa.
Menurut Raxit, pihaknya juga dimaklumkan oleh penduduk di Xinjiang bahawa mereka diberi makanan percuma sebagai galakan untuk tidak berpuasa manakala pihak berkuasa juga membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan tidak ada yang berpuasa.
Xinjiang, yang juga dikenali sebagai Turkestan Timur, merupakan wilayah autonomi di barat laut China. Ia didiami oleh etnik Uighur beragama Islam yang menuntut kemerdekaan daripada pemerintah di Beijing. Wilayah itu juga didiami oleh penduduk Islam daripada etnik lain termasuk Kazakh, Kyrgyz, Uzbek, Tatar dan Tajik.
Berdasarkan bancian penduduk pada tahun 2000, etnik Uighur di Xinjiang dicatatkan berjumlah 10.2 juta orang. Bancian terbaru yang dibuat pada 2010 bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah yang terkini biarpun jumlah etnik lain dicatatkan dalam bancian empat tahun lalu itu.
China menuduh etnik Uighur menggerakkan kempen keganasan untuk menuntut kemerdekaan. Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dan dilihat oleh kumpulan yang bersimpati dengan Uighur sebagai helah untuk menghalalkan diskriminasi ke atas golongan minoriti itu.