China Keluarkan Perintah Berkurung Semula Di Harbin Gara-Gara ‘Super Spreader’ Yang Tiba Dari New York

Trending

China Keluarkan Perintah Berkurung Semula Di Harbin Gara-Gara ‘Super Spreader’ Yang Tiba Dari New York

China telah melaksanakan perintah separa ‘lockdown’ semula di Harbin, bandar terbesar di wilayah Heilongjiang dengan populasi lebih 10 juta penduduk itu. Pada awal bulan lalu, Harbin telah mengarahkan kuarantin selama 28 hari untuk mereka yang baru tiba dari luar negara manakala kuarantin 14 hari untuk yang menunjukkan simptom jangkitan COVID-19.

Lebih 70 orang sah dijangkiti wabak itu manakala 4,000 yang lain menunggu untuk diuji selepas virus itu dipercayai diimport oleh seorang pelajar yang baru pulang dari New York. Pihak berkuasa telah melarang segala perjumpaan beramai-ramai dan mengawal rapi penduduk di dalam bandar.

Advertisement

Pelajar berusia 22 tahun dikenali sebagai Han itu disyaki menjadi punca kepada kes jangkitan yang dilaporkan di Harbin. Walaupun terdapat juga laporan yang mengaitkan kebanyakan kes di Harbin adalah berpunca dari Chen, pesakit berusia 87 tahun yang sedang dirawat di hospital.

Han diuji negatif semasa mengasingkan diri setelah mendarat di kampung halamannya tetapi pegawai kesihatan tempatan mengatakan bahawa dua ujian terakhirnya pada bulan April menunjukkan dia mempunyai antibodies coronavirus yang menunjukkan adanya jangkitan sebelum ini.

harbin china

Semasa tiba di China pada 19 Mac lalu, Han telah melalui proses kuarantin di rumah. Dia kemudian disahkan negatif COVID-19 pada 31 Mac selepas selesai menjalani 14 hari kuarantin. Setelah disahkan negatif, dia telah dibenarkan keluar dari rumah pada 3 April oleh pihak berkuasa.

Wanita tersebut kemudian keluar makan bersama keluarganya pada 5 April malah pergi ke Shanghai dan menetap di sana selama tiga hari. Tanpa disedari, dia sebenarnya telah menyebarkan virus tersebut yang masih ada pada dirinya walaupun menerima keputusan negatif dari ujian yang dilakukan.

Virus tersebut kemudian disyaki telah menjangkiti Chen yang merupakan pesakit strok yang dirawat di hospital.

harbin china

Chen kini telah menjangkiti berpuluh individu yang lain tanpa sedar termasuklah tujuh pekerja kesihatan memandangkan dia sedang menjalani rawatan strok nya. Walaupun tidak dapat dipastikan di mana Han mendapat virus itu, pihak media tempatan telah melabelkan pelajar tersebut sebagai ‘super spreader’ di China.

Setakat Ahad lalu, 60 kes diterima di Harbin di mana 21 daripadanya adalah ‘silent carrier’ ataupun mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom. Menjadikan keadaan lebih membimbangkan kerana tidak dapat dipastikan sudah berapa ramai yang dijangkiti tanpa sedar.

Sejarah perjalanan pulang Han

Menurut Harbin Center for Disease Control and Prevention, Han merupakan pelajar Master’s Degree di New York University. Dia tiba di kampung halamannya di Harbin pada 19 Mac setelah terbang dari New York sehari sebelumnya dengan singgah di Hong Kong dan Beijing.

harbin china

Gambar sekadar hiasan

Dia berjumpa dengan petugas kesihatan di Harbin Taiping International Airport dan terus menjalani proses kuarantin di rumah seperti kebanyakan mereka yang baru pulang dari luar negara. Petugas kesihatan telah menghubungi Han semula pada 10 April apabila salah seorang jirannya disahkan sebagai ‘silent carrier’ wabak tersebut.

Hasil ujian menunjukkan Han negatif dalam IgM tetapi positif dalam IgG. Ini menunjukkan bahawa dia mungkin pernah dijangkiti pada suatu waktu sebelumnya. Ujian lain yang dilakukan pada 11 April juga menunjukkan hasil yang sama. Dia dan keluarganya segera dikuarantinkan oleh pihak hospital untuk langkah keselamatan.

Hasil daripada penularan wabak itu, lebih 70 orang disahkan positif COVID-19 malah segelintir daripadanya disahkan positif sebelum menunjukkan sebarang simptom. Dengan perintah separa ‘lockdown’ yang dikeluarkan, para penduduk perlu menunjukkan kod status kesihatan, memakai topeng muka dan memeriksa suhu badan sebelum meninggalkan rumah.

Sumber (1) (2)

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...