Chef piza dari Malaysia, Zaini Ahmad bakal menyertai Kejohanan Dunia Piza di Parma yang berlangsung dari 14 hingga 16 April 2026.
Menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, Zaini memaklumkan bahawa beliau akan bertanding dalam kategori Neapolitan STG Pizza serta kategori Fastest.
Tambahnya, ini merupakan kali pertama beliau menyertai pertandingan tersebut dan menganggapnya sebagai satu langkah besar untuk menguji kemahiran serta melihat sejauh mana dirinya mampu pergi dalam dunia piza.

Walaupun tidak menjanjikan kemenangan, Zaini berjanji akan memberikan yang terbaik dan pulang dengan pengalaman yang berharga.
Kejohanan Dunia Piza (Campionato Mondiale della Pizza) pula menyifatkan acara ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu platform yang meraikan semangat, kreativiti dan tradisi makanan yang digemari di seluruh dunia.

Setiap tahun, lebih 770 pembuat piza dan chef dari pelbagai negara berhimpun di Parma untuk menguji kemahiran masing-masing.
Para peserta akan dinilai berdasarkan penyediaan, rasa, teknik pembakaran dan persembahan. Mereka akan bersaing dalam pelbagai kategori seperti Classic Pizza, Gluten-free Pizza, Freestyle, Pan Pizza, The Largest Pizza, dan World Pizza Team.
Siapa Zaini Ahmad?
Zaini mempunyai pengalaman selama tujuh tahun sebagai chef piza dan pernah bekerja di Scotland. Dalam satu hantaran pada 23 Mac lalu, beliau mengumumkan akan meninggalkan restoran di sana dan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat, dengan harapan dapat membawa inspirasi serta semangat baharu kepada industri piza tempatan.
Beliau juga dilihat serius dalam memperluaskan ilmu dan kemahiran untuk menjadi antara chef piza terbaik. Menerusi perkongsian terbarunya, Zaini turut ke Maghribi dan bertemu chef piza terkenal tempatan, Chef Hamid. Mereka berdua berkolaborasi dalam video akrobatik piza sambil mempamerkan kemahiran melambung doh piza.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
