Baru sahaja melancarkan produk suplemen kanak-kanak, pelakon Rozita Che Wan didakwa memanipulasikan populariti yang dimiliki anaknya, Aaisyah Dhia Rana untuk menjadi duta produk tersebut semata-mata untuk mengaut keuntungan.
Namun, Che Ta menafikan beliau mempunyai niat sebegitu dan hanya berkongsi sesuatu yang baik untuk kanak-kanak lain juga. Malah, produk keluarannya itu tidak mengandungi bahan berbahaya.
Tiada langsung niat saya untuk memanipulasi anak sendiri. Berikutan ramai yang bertanya, apa yang Aaisyah makan sewaktu proses tumbesarannya, jadi saya kongsikan ia sebagai produk makanan tambahan yang terbaik.
Ia berasaskan makanan sunnah yang premium dan berkualiti tinggi untuk kanak-kanak seperti kurma, madu, kismis, delima, aprikot, buah tin, oren, badam, tomato, anggur dan biji matahari. Aaisyah sendiri memang memakan tablet terbabit dan kami pula mempunyai hubungan baik dengan pengilang, jadi kita keluarkan produk berkenaan untuk digunakan sama oleh kanak-kanak lain.
Isu mengenai produk makanan tambahan buat bayi dan kanak-kanak sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi dan perdebatan di kalangan netizen termasuklah beberapa kenyataan daripada pakar perubatan yang tidak setuju jika mana-mana pihak mempromosikan produk tersebut. Apa-apa pun, sebagai ibu bapa dan pengguna, pilihan terletak di tangan anda.