Dunia masakan di media sosial menjadi kecoh seketika apabila pempengaruh masakan terkenal, Che Sayang Kitchen, menerima kecaman daripada segelintir netizen.
Kontroversi itu bermula selepas Che Sayang berkongsi satu resipi yang didakwa tidak mengikut cara tradisional atau dianggap “tidak authentic” oleh sesetengah pihak.

Seorang netizen yang berpegang kepada cara masakan lama turut mendakwa versi resipi yang dikongsikan oleh Che Sayang seolah-olah telah “menderhaka” kepada resipi asal kerana tidak menggunakan bahan sebenar seperti dalam cara tradisional.
Difahamkan, jika resipi tersebut diikuti sepenuhnya mengikut versi asal, kos bahan yang diperlukan sebenarnya agak tinggi dan mungkin sukar diikuti oleh kebanyakan orang.
Namun, situasi itu bertukar menarik apabila pempengaruh masakan terkenal, Khairul Aming (KA) tampil mempertahankan rakannya dengan memberikan sokongan secara terbuka di media sosial.
Walaupun mesej yang ditinggalkan ringkas, kata-katanya dilihat cukup bermakna sebagai respon kepada pihak yang mengecam Che Sayang.
“Resipi ni guna 4 bahan, 3 bahan boleh di beli di kedai tapi ada 1 bahan yang takkan boleh beli walau dengan duit sebanyak mana sekalipun,” pesan ringkas yang ditinggalkan.
Menerusi video yang dikongsikan, mesej tersebut memberi gambaran bahawa apa yang ingin diraikan bukan sekadar mengejar keaslian resipi semata-mata, sebaliknya lebih kepada semangat kekeluargaan serta kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Umum mengetahui bahawa Khairul Aming dan Che Sayang sering berkongsi resipi yang mudah serta mesra rakyat, supaya orang ramai boleh mencuba sendiri tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menyediakan sesuatu hidangan.
Susulan itu, ramai netizen turut memuji sikap Khairul Aming yang dilihat prihatin serta tidak teragak-agak mempertahankan rakan seperjuangan dalam dunia kandungan masakan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

