Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dilaporkan akan meminta semua pihak yang terlibat termasuklah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk tampil memberi penjelasan serta mengemukakan sebarang bukti yang berkaitan.
SC dalam sebuah kenyataan juga telah mengesahkan bahawa sesebuah pemilikan saham hanya dibenarkan di bawah nama individu yang memiliki akaun sekuriti tersebut, lapor Sinar Harian.
Di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), menyatakan akaun sekuriti mestilah atas nama pemilik yang menerima manfaat.
Seksyen 29 (A) SICDA juga mewajibkan hal ehwal akaun sekuriti hanya dapat diubah pemilik yang menerima manfaat atau penama yang diberi kuasa.
Terdahulu, media tempatan menjadi kecoh apabila Tan Sri Azam Baki telah menafikan dakwaan yang bertiup kencang mengenai isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat yang dibangkitkan pihak pembangkang dan media bebas sejak beberapa bulan lalu.
Jelas Azam Baki, saham-saham tersebut telah dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik beliau, Nasir Baki dan segala transaksi menggunakan pembiayaan adiknya sendiri serta saham syarikat yang dibeli tidak mempunyai kaitan dengan siasatan yang dijalankan SPRM.