Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah mengintai seorang usahawan wanita yang juga pempengaruh popular mandi di sebuah inap desa di Manir, Kuala Terengganu pada dua bulan lalu.
Menurut Kosmo, Majistret Noor Mazrinie Mahmood memerintahkan hukuman demikian selepas tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah menukar pengakuan kepada bersalah setelah dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah inap desa di Banggol Peradong, Manir pada pukul 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa menceroboh inap desa tersebut pada tarikh dan masa sama. Tertuduh berhadapan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM3,000 jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, pada 3 September lalu, Ahmad Farhan Rizal juga dilaporkan dijatuhi hukuman penjara enam bulan atas kesalahan positif dadah jenis amphetamine pada sembilan tahun lalu.
Terdahulu, tular video memaparkan pempengaruh dan usahawan itu berjaya menangkap seorang lelaki yang mengintip dan merakamnya sewaktu berada di dalam bilik air sebuah inap desa disewanya.