Pelakon dan pelawak Ebby Yus berhadapan detik cemas selepas mengalami serangan jantung akibat terkejut apabila pesawat dinaikinya bergegar ketika dalam perjalanan ke Makkah pada 16 Oktober lalu.
Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, disebabkan itu dia terpaksa ditahan di sebuah hospital di Maldives sehingga terlepas peluang untuk mengikuti rombongan seperti yang dijadualkan.
Waktu itu saya bangun untuk ke bilik air tapi tiba-tiba berlaku gegaran yang kuat dalam pesawat hingga saya pengsan. Sebaik sedarkan diri, saya lihat sudah ada beberapa orang di sisi saya.
Menurut Ebby, 56, mujur ada seorang jururawat dari Malaysia yang bekerja di Riyadh, Arab Saudi dan bantu berikan rawatan awal kepadanya. Apabila tiba saja di Lapangan Terbang Maldives, doktor di sana memaklumkan Ebby perlu dibawa ke hospital dan tak boleh meneruskan perjalanan.
Apa yang menyedihkan lagi buat pelakon Uncle Usin itu, dia tidak berpeluang ke Madinah kerana rombongan yang diikuti sudah ke Makkah pada hari kelima. Jadi, dia terpaksa membeli tiket terus ke Makkah.
Saya anggap apa yang berlaku ini adalah satu ujian. Sepanjang berada di Makkah selama enam hari saya juga terpaksa menggunakan kerusi roda ketika melakukan tawaf kerana masih belum kuat sepenuhnya.
Namun, Ebby masih meluahkan rasa syukur kerana semuanya dipermudahkan walaupun perjalanan umrah kali kedua ini lebih memberi ujian kepada dirinya.