Seorang pelajar, Mohd Haiqal Firdaus Mohd Abdullah,14, telah dikejarkan ke hospital selepas cedera parah kerana gagal melempar mercun bola yang telah dicucuhnya di Kampung Tok Kah, di sini, semalam, lapor Sinar Harian.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.00 malam itu, dia dikatakan keluar bermain mercun berkenaan bersendirian di rumah nenekanya selepas berbuka puasa.
Bagaimanapun mercun yang telah dicucuhnya itu tidak sempat dilempar menyebabkan ianya meletup ditangan sehingga menyebabakan bahagian lehernya cedera selain melecur di dada.
Kejadian disedari oleh nenek mangsa yang terdengar letupan kuat, segera mendapatkan cucunya yang berlumuran darah di depan rumah, nenek mangsa terus menghubungi ibu saudara pelajar itu yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.
Ibu saudara mangsa, Noriah Awang, 41, berkata, ketika kejadian dia turut mendengar letupan kuat dari arah rumah nenek mangsa tetapi tidak dapat melihat apa-apa kerana keadaan sekeliling gelap.
“Saya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat panggilan telefon mengatakan anak saudara cedera teruk.
“Melihat keadaannya yang agak teruk saya terus membawanya ke Unit kecemasan Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurutnya, dalam perjalanan ke hospital, anak saudaranya itu tidak berhenti-henti mengeran kesakitan.
“Saya panik melihatnya berlumuran darah sambil memegang lehernya dan hanya terfikir untuk membawanya ke hospital sahaja.
“Saya hanya mampu menyuruhnya bersabar dan beristighfar banyak-banyak apabila dia tidak henti mengadu sakit,” katanya.
Mangsa yang dilapor berada dalam keadaan stabil kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menjalani pembedahan segera bagi merawat keadaan leher yang cedera teruk.