Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz memaparkan detik mencemaskan apabila pelakon Nadia Kesuma rebah secara tiba-tiba sebelum dikejarkan ke hospital.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, berkata hasil semakan rakaman CCTV oleh pihak berkuasa lapangan terbang mengesahkan Allahyarham rebah akibat serangan jantung pada Khamis lalu.

“Arwah meninggal dunia sekitar jam 8.07 pagi (15 Januari 2026), jenazah kini berada di King Fahad Hospital Jeddah.
“Seniman mengucapkan terima kasih kepada Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri atas keprihatinan pihak Wisma Putra membantu memudahkan pelbagai perkara terkait isu ini.”
Pelakon Wanita Hilang Di Arab Saudi Dilaporkan Meninggal Dunia Akibat Sakit Jantung
“Puan Nadia Kesuma adalah ahli yang sangat aktif, rajin, berdedikasi serta mesra dengan semua orang, pemergiannya adalah satu kehilangan yang akan pasti dirindui oleh seluruh ahli Seniman,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, suami Allahyarham, Muhammad Kamarul Kabilan, yang kini berada di Jeddah memaklumkan jenazah Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim telah diuruskan untuk pengebumian, memetik Sinar Harian.
“Jenazah Allahyarham sudah dimandikan oleh anak kami, Sarah dan kawan arwah.” kongsinya.
Ketika artikel ini ditulis, Allahyarham telah selamat dikebumikan di Jeddah.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham gagal dikesan selepas tiba di lapangan terbang Jeddah ketika dalam urusan umrah ziarah sebelum meneruskan perjalanan ke London dan Paris.
Untuk rekod, Nadia menyertai pakej Umrah–London–Paris di bawah sebuah agensi pelancongan bersama 21 jemaah lain dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.48 pagi Selasa lalu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
