Catcha Digital Berhad (Catcha Digital) mengumumkan mereka telah menandatangani perjanjian jual beli saham di mana syarikat itu memperoleh 70 peratus pegangan ekuiti dalam Tastefully Malaysia Sdn Bhd (Tastefully) bernilai RM7.6 juta.
Bayaran itu akan dilaksanakan secara ansuran sebanyak empat kali sepanjang 36 bulan dan ia bergantung kepada pencapaian keuntungan selepas cukai (PAT) yang dijangka.
PAT diunjurkan sebanyak RM0.5 juta bagi kalendah tahun 2024, RM1.1 juta untuk tempoh 12 bulan selepas tarikh penyempurnaan, RM1.4 juta bagi tempoh 13 hingga 24 bulan dan RM1.6 untuk tempoh 25 hingga 36 bulan selepas penyempurnaan.
Transaksi tersebut dijangka dapat memberi sumbangan yang positif kepada pendapatan masa depan syarikat dan membuka peluang kerjasama antara pangkalan pelanggan Catcha Digital dan pelanggan Tastefully.
“Industri F&B di Malaysia adalah antara sektor paling dinamik dari segi penglibatan pengguna dan pembinaan jenama. Kami percaya gabungan ini akan membuka peluang menarik untuk pengiklan sedia ada sambil mencipta laluan pertumbuhan baru,” kata Patrick Grove, Pengerusi Catcha Digital.
Tastefully merupakan syarikat penganjur ekspo makanan terkemuka di Malaysia yang telah menganjurkan lebih 100 ekspo sejak 13 tahun.
Ekspo makanan yang diadakan dihadiri lebih 1.2 juta pengunjung dan lebih 21,000 hubungan dan pempamer. Tastefully juga menjalin kerjasama erat dengan jenama utama F&B seperti Beacon Mart dan Guardian serta agensi kerajaan seperti Lembaga Koko Malaysia.
Acara tahunan tersebut diadakan di lokasi seperti Pusat Pameran Mid Valley (KL), Pusat Pameran Mid Valley Southkey (Johot), Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Tastefully, Esther Fong berkata mereka sangat teruja dapat menyertai keluarga Catcha Digital kerana ia membolehkan syarikat itu menawarkan penyelesaian pengiklanan yang lebih menyeluruh.
Kami yakin gabungan kepakaran kedua-dua pihak akan membawa perniagaan kami ke tahap seterusnya.
Pengambilalihan ini sejajar dengan visi Catcha Digital untuk membina kumpulan digital terkemuka di ASEAN sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital rantau ini yang bernilai kira-kira RM1 trilion.